Covid-19: Lebih 100 doktor meninggal dunia di Indonesia

Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam. - Foto Reuters
Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam. - Foto Reuters
A
A
A

JAKARTA - Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini 210,940 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman web rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 88 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 8,544 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 51,635 kes, dengan tambahan 964 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pada Rabu lepas mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) akan dikuatkuasakan kembali bermula 14 September ini, dengan membatalkan aktiviti sosioekonomi yang dibenarkan beroperasi pada fasa transisi PSBB.

Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lepas, sebelum membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi kembali beroperasi menerusi fasa transisi PSBB pada 5 Jun 2020.

Menurut data yang dikeluarkan pemerintah Jakarta, sebanyak 67 hospital di Jakarta kini ditahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan, dan akan mencapai tahap maksimum kapasitinya pada 17 September ini, sekiranya trend kes positif baharu di Jakarta yang secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas, berterusan berlaku.

Sementara itu provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi di Indonesia iaitu 2,717 orang, dengan 26 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara itu Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia telah terkorban akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat pandemik itu iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang), Jakarta (13) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia. - Bernama