63,000 pesakit seluruh Malaysia terima bantuan TBP

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

KLUANG - Seramai 63,000 pesakit di seluruh negara telah menerima manfaat Tabung Bantuan Perubatan (TBP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditubuhkan pada 2005.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bantuan TBP disediakan kepada pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, pembelian peralatan rehabilitasi atau ubat-ubatan.

Beliau berkata, pembiayaan bantuan adalah untuk disiplin seperti kardiologi (jantung), ortopedik (tulang), otorinolaringologi (ENT), rehabilitasi serta sembilan lagi disiplin lain.

“Bantuan lain seperti Peka B40, bantuan subsidi hemodialisis di hospital kerajaan dan MySalam juga diperkenalkan bagi membantu masyarakat.

“Untuk MySalam, saya telah arahkan setiap hospital di seluruh negara untuk mempunyai setiap sudut MySalam bagi memudahkan pegawainya membantu memberikan maklumat dan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan TBP KKM di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Aman Rabu.

Sementara itu, Dr. Aman berkata, seramai 111 orang pesakit di Johor telah menerima bantuan TBP berjumlah RM1.19 juta, sehingga Ogos tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pesakit yang paling ramai menerima bantuan ini ialah mereka yang menghidap penyakit telinga, hidung dan tekak (otorinolaringologi) iaitu seramai 39 orang.

“Pada tahun 2018, sebanyak 333 permohonan diluluskan melibatkan kos sebanyak RM2,147,776.76 manakala bagi tahun 2019 sebanyak 326 pesakit sudah diberikan bantuan dengan kos RM2,425,133.50,” katanya. - Bernama