X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Saya diberitahu telefon bimbit Nazrin meletup, kata saksi

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan
A
A

SHAH ALAM - Saksi pendakwaan ke-28 kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan menyatakan, beliau ada diberitahu kejadian kebakaran di bilik tidur lelaki berkenaan akibat letupan telefon bimbit yang juga terkena pada mangsa.

Bekas pemandu peribadi Nazrin, Muhammad Nabil Faqih, 28, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh anak tiri majikannya itu ketika mereka bertemu pada hari kejadian.

Muhammad Nabil berkata, pada mulanya, beliau mengetahui Nazrin sudah meninggal dunia apabila dihubungi oleh setiausaha majikannya itu bernama Anisa pada hari kejadian (14 Jun 2018), menyebabkannya segera ke rumah mangsa bersama isteri.

“Pada 14 Jun (2018), saya diberi cuti (oleh Nazrin). Saya menerima panggilan (daripada Anisa) menyatakan Nazrin sudah meninggal dunia. Saya bertanya kenapa dan diberitahu berlaku kebakaran di rumahnya.

“Apabila sampai di rumah (Nazrin), saya ada bertemu dengan anak tirinya. Saya bertanya macam mana boleh terbakar? Dia kata ‘handphone’ meletup terkena bahagian belakang,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah mengenai kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Terdahulu, Mohd Asnawi bertanyakan kepada Muhammad Nabil keberadaannya pada 14 Jun 2018 dan bagaimana beliau mengetahui majikannya telah meninggal dunia.

Mohd Asnawi turut bertanya apakah yang difahami dengan maksud ‘bahagian belakang’ seperti diberitahu anak tiri Nazrin, Muhammad Nabil bagaimanapun tidak dapat menjelaskan secara terperinci kerana tidak mengingati butirannya.

“Saya tak berapa ingat cuma apabila saya nak balik, anak tiri Nazrin ada beritahu saya 'Uncle Nazrin mungkin ada orang buat atau pukul sebab dekat belakang ada darah, sambil menunjukkan tangan di belakang kepala,” katanya.

Mohd Asnawi: Dia (anak tiri Nazrin) kata mungkin ada orang buat. Kenapa dia kata begitu? Encik Nabil tanya ke?

Muhammad Nabil: Saya tak tanya.

Mohd Asnawi: Apa reaksi Encik Nabil apabila diberitahu begitu?

Muhammad Nabil: Sepanjang saya kenal anak tiri Nazrin, dia memang suka cerita macam budak-budak tapi saya tak ambil serius. Mungkin dia nampak dari jauh dan beranggapan begitu.

Mohd Asnawi: Encik Nabil tak cakap apa-apa? Memang Encik Nabil kenal dia banyak bercakap tapi Encik Nabil tak tanya (dengan lebih lanjut)?

Muhammad Nabil: Saya tak tanya dan cuma mendengar.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 25 September. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!