Pas terus pertahan Khairuddin, sifatkan DAP sengaja besarkan isu

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas terus mempertahankan Ahli Majlis Syura Ulamaknya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan menganggap DAP sengaja mencari isu dengan memperbesarkan kes tidak menjalani kuarantin wajib koronavirus (Covid-19) selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu bukan sahaja mengikuti prosedur operasi standard (SOP), tetapi sanggup mengorbankan dirinya sendiri dengan menghadapi bahaya.

“DAP selalu mencari isu-isu dan bukannya menyelesaikan masalah rakyat. Apa yang penting ialah, menteri kita (Pas) dapat menjalankan usaha sehingga berjaya menaikkan harga (kelapa) sawit.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Mohd Khairuddin hangatkan Dewan Rakyat

Ujian Covid-19 Dr Khairuddin negatif

Bukit Aman ambil masa 3 jam rekod keterangan Khairuddin

Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji menteri

“Harga naik dengan mencari pasaran di luar negara, sanggup mengorbankan diri. Mengorbankan diri menghadapi bahaya. Sebenarnya, (dia) melalui SOP tetapi sengaja dicetuskan oleh DAP. Pihak polis sudah menyiasat dan kita tunggu (keputusan) siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin-pemimpin DAP yang berterusan mendesak Khairuddin meletakkan jawatannya, dengan membangkitkan isu pelanggaran SOP kuarantin.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, menteri dan timbalan menteri Pas termasuk Khairuddin yang dilantik menganggotai kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Dalam masa singkat (enam bulan) dan pendek ini, Alhamdulillah mereka dapat menjalankan tugas dan mengadakan hubungan yang baik dengan anggota kabinet seluruhnya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Muktamar Pas Kali Ke-66 yang akan berlangsung pada Ahad ini yang mungkin menjadi muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abdul Hadi berkata, persiapan jentera pilihan raya antara agenda utama dalam muktamar kali ni.

Katanya, PRU-15 perlu disegerakan bagi mendapatkan sokongan rakyat secara langsung.

"Kita berjaya mewujudkan satu perpaduan rakyat, bermula dengan menyatukan umat Islam, daripada parti-parti Melayu Islam iaitu UMNO, Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Seterusnya, kita sertakan dalam kalangan bukan Islam menjadi sebahagian daripada kita, mereka yang tidak ‘ekstrim’ dan memilih penyelesaian secara damai dan baik.

"Alhamdulillah, langkah yang kita ambil berjaya sehingga kita mendapat suara yang membolehkan kita menukar kerajaan mengikut konsep demokrasi melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat sehingga memberi suara yang majoriti namun PRU15 perlu diadakan bagi mendapatkan sokongan daripada rakyat," katanya.