Mahkamah tolak permohonan Jahid tangguh PRN Sabah

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas ADUN Tamparuli, Datuk Jahid @ Noordin Jahim untuk menangguhkan PRN Sabah.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas ADUN Tamparuli, Datuk Jahid @ Noordin Jahim untuk menangguhkan PRN Sabah.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Tamparuli, Datuk Jahid @ Noordin Jahim untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang penamaan calonnya ditetapkan esok manakala hari pengundian pada 26 September.

Jahid memohon agar mahkamah menangguhkan PRN Sabah sementara menunggu keputusan rayuan berhubung isu siapa yang lebih berhak menjadi Ketua Menteri antara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atau Tan Sri Musa Aman.

Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memutuskan bahawa mahkamah tidak berjaya diyakinkan untuk menggunakan budi bicaranya bagi membenarkan penangguhan itu.

“Keputusan kami adalah sebulat suara. Kami menghargai sepenuhnya kepentingan memelihara integriti pemohon (Jahid) namun pada masa sama, kami juga menyedari kepentingan memelihara integriti proses demokratik menerusi pilihan raya.

“Selepas mempertimbang perkara itu secara serius, kami berpendapat bahawa berdasarkan keseimbangan kemudahan dan kepentingan awam yang jauh lebih besar, permohonan tersebut tidak boleh mengatasinya,” katanya.

Dalam keadaan itu, Abdul Rahman berkata panel tersebut menolak permohonan Jahid tanpa kos.

Jahid telah memfailkan permohonan itu pada Selasa dan menamakan Mohd Shafie, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha DUN Datuk Bernard J Dalinting sebagai responden.

Dalam permohonan itu, beliau telah memohon agar Warta Kerajaan Negeri Sabah bertarikh 30 Julai digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon agar pengumuman Yang Dipertua Negeri bertarikh 30 Julai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-15 mengikut Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sabah digantung sementara menunggu keputusan rayuan berhubung isu itu.

Musa, yang hadir di mahkamah, turut memfailkan permohonan serupa pada 6 petang semalam, bagaimanapun mahkamah tidak mendengar kes itu kerana peguam responden memerlukan masa untuk menjawabnya.

Pada 26 Ogos, Musa dan Jahid telah memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan berhubung cabaran mereka terhadap kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa dan Jahid untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayan.

Abdul Rahman dan Zabariah membuat keputusan yang memihak kepada Musa dan Jahid manakala Mohd Zawawi menentang.

Usaha Musa dan Jahid untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebelum ini menemui jalan buntu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 28 Ogos tahun lepas.

Seorang litigan perlu memperoleh kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Datuk Cyrus Das yang mewakili Mohd Shafie memohon agar Abdul Rahman dan Zabariah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan terdapat risiko bias kerana mereka adalah hakim yang membuat keputusan majoriti yang memihak kepada Musa serta Jahid.

Bagaimanapun, kedua-dua hakim sepakat untuk terus berada dalam panel itu kerana tiada alasan kukuh untuk mereka menarik diri.

“Saya tidak akan menarik diri dan akan terus mendengar permohonan ini,” kata Zabariah.

Pada peringkat awal prosiding, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Jahid dan Musa telah menggesa mahkamah agar membenarkan permohonan itu atas alasan bahawa jika Musa berjaya dalam rayuannya bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah, maka pembubaran DUN akan dianggap sebagai tidak sah.

Ini kerana Yang Dipertua telah dinasihat untuk membubarkan DUN oleh Ketua Menteri yang tidak sah iaitu Mohd Shafie.

“Sekiranya mahkamah tidak membenarkan penangguhan, pilihan raya akan diteruskan dan sekiranya mahkamah memutuskan bahawa Musa adalah Ketua Menteri yang sah, ia akan mengakibatkan krisis perlembagaaan di Sabah,” katanya.

Das pula berhujah bahawa permohonan itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana rayuan Musa berhubung isu siapa Ketua Menteri Sabah yang sah adalah berbeza daripada isu pembubaran DUN.

Beliau juga berkata, penangguhan pilihan raya itu akan menjejaskan sejumlah 1.12 juta pengundi di Sabah serta lebih 200 calon di 73 kawasan. - Bernama