PKR fokus kepada kemenangan calon

Christina pada sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon yang bertanding PRN di Ibu Pejabat PKR Sabah hari ini.
Christina pada sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon yang bertanding PRN di Ibu Pejabat PKR Sabah hari ini.
A
A
A

PENAMPANG - Pengerusi Parti Keadilan Sabah (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew menganggap kini mereka sudah berada di fasa ketiga iaitu fokus pada usaha untuk memenangkan tujuh calon yang diletakkan di bawah parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Menurut beliau, partinya sudah melalui dua fasa sebelum ini iaitu pertama perbincangan dan pemilihan calon parti manakala kedua berbincang atau berunding dengan semua rakan sekutu dalam Warisan Plus.

"Sekarang tumpuan kita adalah fasa ketiga iaitu memastikan semua tujuh calon itu menang pada PRN ini. Selepas ini, kita akan duduk bersama semua pemimpin dan cabang di bahagian untuk strategi seterusnya dalam memastikan kemenangan calon.

“Sekarang kita di fasa ketiga dan saya tidak akan menjawab apa-apa di luar fasa ketiga,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon yang bertanding PRN di Ibu Pejabat PKR Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diagihkan kepada parti itu pada PRN Sabah.

Hadir sama, Ketua Penerangan PKR Pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Rabu lalu, Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, PKR akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah, hujung bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: PKR tanding 14 kerusi DUN

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, PKR hanya memperoleh tujuh kerusi selepas pengumuman Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semalam.

PKR adalah rakan sekutu dalam Warisan Plus selain Pertubuhan Kinabalu Progresit Bersatu (UPKO), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), dengan diketuai Warisan.

Sementara itu, tujuh calon PKR yang akan bertanding pada PRN ialah Christina bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api diikuti Timbalan Pengerusi PKR, Mustapha Sakmud (Tempasuk) dan Ketua Pemuda PKR, Raymond Ahuar (Sook) selain Sazalye Donol Abdullah (Matunggong), Abdul Rahman Md Yakub (Klias) dan dua muka baharu iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil (Tamparuli) dan Petu Galim (Inanam).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi iaitu Api-Api dan Inanam.