Lebih empat juta belia peroleh manfaat BPN

Santhara Kumar Ramanaidu
Santhara Kumar Ramanaidu
A
A
A

LABUAN - Lebih empat juta belia di seluruh negara telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban generasi muda dalam mendepani pandemik Covid-19.

Jumlah itu tidak termasuk bantuan sekali bayar, subsidi gaji dan bantuan dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu berkata, kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenal ‘Inisiatif Rentas Kementerian’ yang bertujuan merangsang sosioekonomi belia menerusi sektor keusahawanan pasca pandemik Covid-19 melalui model Inisiatif Usahawan Muda Bandar.

“Di bawah inisiatif ini, reruai perniagaan akan ditawarkan kepada sekurang-kurangnya 1,122 usahawan muda di 169 lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada Sambutan Belia Nasional dan Penyampaian Anugerah Program Belia Peringkat Labuan di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Beliau berkata, sejumlah inisiatif yang diberikan setakat ini kepada mereka yang terjejas akibat perintah sekatan susulan pandemik Covid-19 termasuk pengecualian sewa selama enam bulan (premis kerajaan di Labuan), tiga bulan dalam bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), elaun khas kepada petugas barisan hadapan, pek makanan, ventilator untuk hospital dan penangguhan ansuran bulanan (enam bulan) Projek Perumahan Rakyat/Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta perumahan awam DBKL. - Bernama

Artikel Berkaitan: