X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 tuntut lebih banyak penyelidikan, bantu pulihkan ekonomi

Muhyiddin ketika tiba pada majlis perjumpaan bersama warga IPT Sabah dan menyampaikan tawaran program dermasiswa ‘MyBrighter Future’ Yayasan Tenaga Nasional di UMS, Kota Kinabalu hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Cabaran pandemik Covid-19 menuntut warga akademik membuat lebih banyak penyelidikan, khususnya dalam usaha membantu memulihkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun pada prinsipnya, ahli akademik wajib menjalankan penyelidikan untuk meneroka ufuk ilmu dan membina kepakaran, namun masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam.

“Dalam konteks ini, hala tuju penyelidikan ahli akademik perlu sejajar, dengan cabaran dan mengupas persoalan dihadapi komuniti setempat, bangsa dan masyarakat sejagat.

“Ahli akademik perlu mengubah corak pemikiran daripada ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’.

“Cabaran-cabaran semasa yang sedang kita hadapi, termasuk pandemik Covid-19, usaha pemulihan ekonomi dan melaksanakan pelbagai agenda kerajaan seperti keselamatan, kesihatan, pelancongan dan kemakmuran. Kesemua ini merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian, khususnya warga akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah dan menyampaikan tawaran program dermasiswa ‘MyBrighter Future’ Yayasan Tenaga Nasional di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam mendepani cabaran-cabaran tersebut, Muhyiddin yakin bahawa institusi pengajian tinggi tempatan merupakan institusi terbaik setanding dengan negara-negara luar, namun perlu mempamerkan diri sebagai universiti terhebat dan tersohor dalam sesuatu bidang.

Beliau menarik perhatian pensyarah dan profesor IPT tempatan, termasuk dari UMS supaya menyusun program, mempamerkan kelebihan masing-masing, agar ia menjadi kebanggaan kepada semua, selain perlu lebih dikenali pembuat dasar negara sebagai rujukan dalam bidangnya untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Pensyarah dan profesor juga mestilah tampil ke hadapan dengan sumbangan lebih besar bukan hanya kepada pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pengkomersilan semata-mata, tetapi menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing.

“Kepakaran dan sumbangan mereka haruslah melimpah keluar dari kampus, agar masyarakat dapat menikmati kepakaran mereka sebagai cendekiawan dan ilmuan dalam membangunkan masyarakat.

“Pensyarah dan profesor harus bersedia menjadi pakar dalam bidang masing-masing dan menjadi tersohor kepada universiti, negara dan masyarakat. Kekurangan pakar yang ingin mempamerkan diri, menyebabkan kita masih belum mampu mengeluarkan ‘Nobel Laureate’,” tegasnya.

Perdana Menteri juga menyeru IPT agar menyahut cabaran untuk mula bersaing menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh menghasilkan Nobel Laureate, sekali gus menjadi kebanggaan negara dan dunia.

Dalam hal ini menurut Muhyiddin, Kementerian Pengajian Tinggi perlu bersama-sama dengan kesemua IPT, untuk melihat semula pelan-pelan yang telah dibangunkan sebelum ini untuk diperkasa dan diperkukuhkan, bagi menghasilkan cendekiawan yang boleh diiktiraf sebagai seorang Nobel Laureate.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara kerajaan dan TNB, bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama pelaksanaan program 'MyBrighter Future’ (MyBF).

Menurut siaran media, program MyBF memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar bumiputera dan bukan bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Malaysia yang mengikuti pengajian dalam bidang atau kursus tertentu.

Sehingga kini, seramai 315 pelajar dari Sabah telah diberi penajaan melibatkan 225 pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, 70 pelajar sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan selebihnya iaitu 20 orang sedang belajar di peringkat sijil. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!