X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM tumpas dua sindiket, rampas dadah RM5.16 juta

Zainudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas polis pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah yang aktif dilakukan dua sindiket sejak beberapa bulan lalu ditumpaskan dalam serbuan polis dengan nilai rampasan dadah bernilai RM5.16 juta.

Serbuan di sekitar Selangor dan ibu negara pada Selasa dan Rabu lalu itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor serta Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, seramai 17 individu termasuk enam wanita berumur lingkungan 28 hingga 59 tahun diberkas hasil 15 serbuan yang dilaksanakan.

Menurutnya, polis telah merampas pelbagai jenis dadah antaranya ketamin seberat 46.87 kilogram (kg), ekstasi (11.43 kg), syabu (1.55kg), eramin 5 (2.93 kg) dan serbuk MDMA (32.72 kg).

"Operasi ini turut membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah di sebuah kediaman yang disewa di Damansara.

"Selain itu, semakan mendapati kesemua suspek terdiri daripada 15 warga tempatan serta dua wanita warga Vietnam yang dipercayai adalah kekasih kepada suspek lelaki.

"Polis percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, kita telah menumpaskan dua sindiket dadah," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Antara dadah bernilai RM5.16 juta yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu lalu.
Antara dadah bernilai RM5.16 juta yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu lalu.

Mengulas berkenaan modus operandi sindiket, beliau mendedahkan, dadah yang diedar untuk pasaran tempatan itu juga dikesan diedar kepada pembeli untuk kegunaan parti liar.

Katanya, sindiket turut dikesan berurusan dengan pembeli dengan menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp.

Tambahnya, dalam memastikan sindiket terus lumpuh, pihaknya turut bertindak menyita harta bernilai lebih RM1.5 juta membabitkan 16 buah kenderaan, wang tunai Ringgit Malaysia dan mata wang asing, barang kemas serta sebuah motosikal.

"Semakan lanjut mendapati tujuh lelaki memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Siasatan masih dijalankan untuk memburu saki-baki sindiket terbabit. Kesemua suspek yang ditahan kini direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!