Perihal Trump dan shut down di AS

Kelmarin, Presiden Trump berkata beliau akan menamatkan penutupan kerajaan selama tiga minggu sementara rundingan untuk mendapatkan peruntukan wang membina tembok sempadan terus berlaku.
A
A

SIAPA yang tidak kenal dengan Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang penuh dengan kontroversi. Belum sampai sepenggal memerintah negara tersebut, pelbagai kisah kontroversi terpalit pada dirinya, antaranya, kisah Islamofobianya, perang dagang AS-China, dan yang terkini, isu penutupan (shut down) pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Krisis shut down ini berlaku apabila Kongres gagal menyepakati belanjawan yang diperlukan untuk operasi kerajaan. Biasanya kerajaan berhenti menyediakan semua perkhidmatan di pentadbiran kerajaan, kecuali perkhidmatan yang dianggap penting atau kritikal sahaja.

Tujuan Trump menutup pentadbiran kerajaan adalah kerana hasratnya yang ingin membina tembok di Sempadan AS dan Mexico, tetapi mendapat tentangan daripada kedua-dua parti Demokrat dan Republikan. Sebagai tindak balas, Trump enggan menan datangani peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana kepada pentadbiran kerajaan.

Dalam kata lain, Trump bertindak balas menolak untuk menandatangani belanjawan jabatan kerajaan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan pertikaian itu. Selain itu, Trump terus mendesak dan menguggut akan menggunakan hak mutlaknya dengan mengisytiharkan darurat dan cuba mendapatkan dana tanpa kelulusan kongres.

Penutupan separa kerajaan yang dilakukan oleh Trump merupakan rekod yang paling lama dengan mengatasi tempoh 21 hari ketika di bawah pentadbiran Bill Clinton pada 1995-1996.

Penutupan operasi kerajaan turut memberi kesan kepada urusan pendaftaran perkahwinan. Donald Trump menegaskan penutupan sebahagian kerajaan persekutuan negara itu akan berterusan sehingga tuntutan dana untuk pembinaan tembok sempadan dengan Mexico diluluskan.

Antara tujuan beliau membina tembok tersebut adalah untuk menghalang kemasukan pendatang dari Mexico yang dilabelnya sebagai perogol, penagih dadah dan penjenayah.

Namun, alasan yang diberikan oleh beliau itu dianggap membazir, tidak munasabah dan dikatakan tidak menguntungkan ekonomi AS itu sendiri. Bagi Kongres, sebelum ini pun, tiada serangan pengganas dari sempadan Mexico dan hanya penyeludupan dadah sahaja yang berlaku, tetapi dapat dikawal oleh agensi Drug Enforcement Administration (DEA).

Selama ini, pelbagai cara dan cadangan telah dilontarkan oleh Trump dengan harapan Kongres bersetuju dengannya untuk membina tembok tersebut. Beliau pernah mencadangkan untuk mengenakan cukai import sebanyak 20 peratus untuk barangan Mexico bagi menampung kos pembinaan tembok sempadan itu.

Selain itu, beliau juga mencadangkan untuk membina tembok tersebut dengan menggunakan bahan yang diperbuat daripada keluli berbanding konkrit sebagai kompromi dengan Demokrat yang enggan membiayainya.

Niat untuk mendirikan tembok ini bukan sahaja ditentang oleh Kongres di AS, malah ianya juga ditentang oleh kerajaan dan rakyat Mexico. Tembok yang ingin didirikan itu akan mengambil jarak lebih 1600km dan Pakar alam sekitar di Mexico juga berpendapat bahawa pembinaan tembok tersebut akan menjejaskan pembiakan haiwan yang makin pupus antaranya, harimau bintang dan rusa yang berulang-alik di dalam rizab hutan khas yang dilindungi kerajaan kedua-dua negara.

Akibat daripada krisis shut down ini, beribu-ribu pekerja di AS diminta untuk cuti tanpa dibayar gaji dan ada pula yang terpaksa menjual aset yang ada untuk meneruskan kehidupan. Situasi ini boleh lah dikaitkan dengan peribahasa “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Selain itu, AS mengalami kerugian sebanyak $1.2 bilion USD dalam masa seminggu.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh S&P Global Ratings, dijangkakan bahawa Kerajaan Amerika akan mengalami kerugian sebanyak 6 billion USD akibat daripada tindakan Presiden Trump tersebut.

Ini akan melebihi kos tuntutan Presiden Trump itu sendiri terhadap pembinaan tembok di sempadan Mexico dan Amerika, yang hanya mahukan kongres meluluskan perbelanjaan sebanyak $5.7 bilion USD untuk pembinaan tembok tersebut.

Selain daripada itu juga, syarikat rangkaian kopi popular Starbucks juga turut sama terasa kesannya kerana banyak restoran Starbucks terletak berhampiran dengan bangunan pejabat agensi kerajaan. Selain itu, saham syarikat Starbucks juga telah susut sebanyak 2% kesan daripada krisis shut down ini.

Kelmarin, Presiden Trump berkata beliau akan menamatkan penutupan kerajaan selama tiga minggu sementara rundingan untuk mendapatkan peruntukan wang untuk membina tembok sempadan terus berlaku. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk untuk mengisytiharkan darurat kebangsaan atau menutup kerajaan sekali lagi jika Republikan dan Demokrat tidak dapat mencapai persetujuan mengenai peruntukkan wang tersebut sehingga 15 Februari depan. Persoalannya sekarang, siapa yang patut di shut down, Trump ataupun pentadbirannya?

* Penulis ialah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.