MFL pantau situasi PKPD di Kedah

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiada pindaan jadual berlaku buat masa ini melibatkan perlawanan CIMB Liga Super di antara pasukan Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bagaimanapun menegaskan pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah yang telah berkuatkuasa mulai semalam sehingga 25 September depan.

Menurutnya, MFL akan sentiasa berhubung dengan pasukan Kedah dan pasukan lawan yang menentang Kedah untuk memastikan segala maklumat semasa dapat dikemaskini sebelum memutuskan sebarang perubahan jadual disebabkan pandemik Covid-19 itu.

“Buat masa ini, jadual di antara pasukan tuan rumah, Kedah dan Sabah pada 19 September 2020 ini adalah kekal dan tidak berubah.

“Namun MFL memandang serius perkembangan terkini apa yang berlaku di Alor Setar di mana kami akan mengambil pendekatan meninjau situasi Covid-19 daripada masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani juga tidak menolak berlaku perubahan jadual CIMB Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar jika situasi pandemik itu menjadi semakin serius.

Katanya, beberapa mekanisme telah pun dikaji melibatkan pertemuan Kedah dan Sabah itu jika perubahan jadual CIMB Liga Super dibuat disebabkan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah itu.

“Seperti saya katakan tadi, MFL akan memantau perkembangan semasa. Jika ada kelonggaran kemasukan pasukan di daerah PKPD seperti yang dilaksanakan sebelum ini di mana perlawanan Sarawak United FC menentang Selangor 2 di Kuching, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, saya fikir tiada masalah.

Artikel Berkaitan:

“Namun jika ia tidak mendapat kebenaran kerajaan, MFL telah pun mengkaji beberapa mekanisme lain termasuk bermain di luar negeri tersebut.

“Saya cuma berharap kesemua pasukan memahami dan tidak mempertikaikan jika ada berlaku perubahan jadual CIMB Liga Super nanti kerana kita sedang berdepan masalah pandemik Covid-19 dan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah.

“Jadi marilah kita sama-sama berdoa agar penularan Covid-19 di negara dapat dibendung bukan hanya untuk memastikan kelancaran Liga Malaysia tapi apa yang lebih penting adalah demi keselamatan dan kesejahteraan kita semua,” katanya.