Arab Saudi pintas peluru berpandu, dron Yemen

Riyadh menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron yang membawa bom milik pemberontak Houthi di Yemen tetapi berjaya dipintas tentera perikatan diketuai Arab Saudi semalam. - Foto AFP
Riyadh menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron yang membawa bom milik pemberontak Houthi di Yemen tetapi berjaya dipintas tentera perikatan diketuai Arab Saudi semalam. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Pasukan tentera perikatan diketuai Arab Saudi semalam memintas peluru berpandu balistik dan dron yang dilancarkan kumpulan pemberontak Houthi ke arah negara tersebut, lapor media kerajaan.

Kumpulan pemberontak itu sebelum ini mendakwa peluru berpandu itu disasarkan ke arah bandar raya Riyadh.

Para pemberontak yang mempunyai hubungan dengan Iran itu telah meningkatkan serangan ke atas Arab Saudi dengan menyasarkan serangan terutamanya di wilayah selatan sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Pada tengah hari semalam, stesen televisyen Al-Masirah milik kumpulan pemberontak tersebut berkata, ia menyerang sasaran penting di Riyadh dengan menggunakan dron dan sebuah peluru berpandu.

Namun, jurucakap tentera perikatan, Turki al-Maliki berkata, ia berjaya memintas dan memusnahkan sejumlah peluru berpandu balistik dan dron bom yang dilancarkan ke arah negara beraja tersebut.

Tentera perikatan campur tangan untuk menyokong kerajaan Yemen pada tahun 2015 selepas kumpulan Houthi merampas ibu kota Sanaa dan menutup pangkalan sementara kerajaan di Aden.

Sejak itu ribuan penduduk kebanyakannya orang awam terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pernah menyatakan ia merupakan bencana kemanusiaan terbesar di dunia. - AFP

Artikel Berkaitan: