Dua restoran di Nilai dikompaun pamer logo halal tak sah

Foto: KPDHEP
Foto: KPDHEP
A
A
A

SEREMBAN - Dua restoran di Nilai dikenakan kompaun atas kesalahan mempamerkan dan menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa dari KPDNHEP Seremban dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat pemeriksaan berkaitan Perbahasan Halal di kawasan Nilai pada Rabu lalu.

Katanya, pemeriksaan ini tertumpu kepada penggunaan perbahasan berkaitan halal seperti penggunaan logo Halal JAKIM; ayat 'ditanggung Halal' atau 'makanan halal'; dan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan tersebut boleh dimakan oleh orang-orang Islam.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua premis telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan ungkapan 'Halal' pada iklan kedai dan menggunakan logo halal pembekal barangan yang tamat tempoh di dalam premis perniagaan.

"Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, menggunakan dan mempamerkan Sijil Halal syarikat pembekal di restoran merupakan kesalahan kerana menggunakan logo Halal JAKIM tanpa kebenaran.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya bagi individu, manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM 250,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ain Arjuna memberitahu sejak 2017 sehingga tempoh September ini, sebanyak sebanyak 55 kes dihasilkan berkaitan kesalahan Perakuan dan Penandaan Halal dan Takrif Halal.

"Bagi sepanjang tahun 2020 sehingga 9 September ini, sebanyak 246 premis diperiksa di seluruh Negeri Sembilan dan sebanyak 12 kes dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan yang dikesan adalah menggunakan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, menggunakan sijil halal yang tamat tempoh menggunakan perbahasan halal dan mempamerkan Tauliah Sembelihan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di premis makan," katanya.

Tambahnya, peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo Halal, Sijil Halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, penggunaan Sijil Halal atau logo Halal adalah untuk pemegang Sijil Halal sahaja, penggunaan oleh peniaga yang bukan pemegang adalah satu kesalahan.

Jika terdapat sebarang aduan atau pertanyaan pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menghubungi KPDNHEP Negeri Sembilan melalui talian 06-6016500 atau hadir membuat laporan ke mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP.