PDRM siap sedia hadapi PRN Sabah

Abdul Hamid Bador (tengah) ditemui pemberita di Ipoh hari ini. Foto: Bernama
Abdul Hamid Bador (tengah) ditemui pemberita di Ipoh hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar anggota tambahan daripada Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, seramai 420 anggota polis daripada pelbagai jabatan dipohon oleh IPK Sabah bagi membantu kekuatan anggota sedia ada sepanjang kempen PRN berlangsung.

Menurutnya, PDRM tidak akan menghantar ramai anggota untuk membantu IPK Sabah memandangkan kekuatan anggota polis di negeri itu sudah memadai untuk mengawal PRN tersebut.

"Persiapan mantap. Kita sudah bersedia dan prosedur operasi standard (SOP) telah dibentangkan dan diberikan kepada unit-unit berkenaan untuk dipatuhi. Ada permintaan bantuan sumber manusia daripada luar oleh Polis Sabah dan kita beri. Sebahagiannya telah terbang ke Sabah khususnya pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

"Yang penting sekali saya telah bercakap dengan Pesuruhjaya Polis Sabah. Kekuatan polis sedia ada di Sabah cukup untuk menampung keperluan sepanjang berlangsungnya PRN itu nanti. Cuma mereka minta anggota bantuan untuk kerja-kerja menjaga keselamatan am Sabah," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh sebagai 'Approved Training Organisation-Flying Training Organisation (ATO-FTO) dan 'Approved Training Organisation-Type Rating Training Organisation (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), di PLPGU, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, jumlah anggota sedia ada memadai bagi mengelakkan pembaziran anggota yang ditempatkan khusus bagi memastikan PRN Sabah berjalan lancar.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September depan dijangka sengit melibatkan persaingan parti kerajaan iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus dan pembangkang, Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) menang di 21 kerusi.