PKPD: Premis kerajaan ditutup, operasi perkhidmatan awam tangguh

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar melakukan SJR berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kota Setar bermula 12.01 tengah malam tadi sehingga 25 September. - Foto Bernama
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar melakukan SJR berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kota Setar bermula 12.01 tengah malam tadi sehingga 25 September. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Semua premis kerajaan ditutup dan operasi perkhidmatan awam Kedah di daerah Kota Setar ditangguh sehingga 25 September depan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah berkata, penjawat awam dibenarkan menjalankan tugas dari rumah bermula daripada tarikh penutupan premis dalam tempoh dua minggu itu.

Beliau berkata, ketua jabatan diminta memberi peringatan kepada penjawat awam untuk melakukan tugasan dan kekal berada di rumah serta memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

"Berdasarkan arahan penutupan premis kerajaan dan penangguhan operasi perkhidmatan awam itu, penjawat awam termasuk pegawai hanya boleh hadir ke pejabat tertakluk kepada arahan semasa ketua jabatan pada masa difikirkan sesuai.

"Penjawat awam dibenarkan membawa pulang aset kerajaan seperti komputer riba dan dokumen yang berkaitan tugasan kecuali dokumen yang dikategorikan sebagai rahsia," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, pegawai keselamatan perlu berada di pejabat untuk mengawal keselamatan premis bagi mengelak pencerobohan, kecurian dan sebagainya dalam memastikan aspek keselamatan bangunan dikekalkan.

Beliau berkata, semua projek fizikal yang tidak kritikal ditangguhkan sehingga arahan berkenaan terbatal, selain perancangan dan urusan perolehan.

Syed Shaharuddin berkata, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi perkara-perkara dinyatakan melainkan mendapat kebenaran ketua jabatan.

Artikel Berkaitan: