'Banyak pasukan mahu hentikan dominasi Liverpool'

Arnold
Arnold
A
A
A

TONGGAK pertahanan kanan Liverpool, Trent Alexander Arnold percaya The Reds akan menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/2021 yang akan bermula secara rasminya malam esok.

Menurutnya, walaupun Liverpool dianggap sebagai pasukan pilihan, namun Arnold mengakui bakal berdepan saingan sangat mencabar membabitkan beberapa pasukan gergasi EPL yang semakin menunjukkan peningkatan.

"Bagi kami, ia bukan sekadar menambah mata atau menjaringkan lebih banyak gol berbanding musim lepas, tetapi ia lebih kepada bagaimana kami membentuk pasukan dan teruskan kemenangan.

"Kami perlu mengekalkan mentaliti tersebut yang akan terus membawa kami lebih cemerlang musim ini. Kami tahu ada sasaran besar diletakkan kepada pasukan ini untuk mempertahankan kejuaraan dan pihak lawan akan mempunyai mentaliti lebih tinggi untuk menewaskan kami.

"Banyak pasukan yang akan cuba menghentikan kami dan ia bukan tugas yang mudah untuk kami dalam setiap perlawanan," katanya.

Liverpool muncul juara EPL musim lalu sekali gus menamatkan penantian panjang 30 tahun kelab itu untuk mendakap trofi berprestij tersebut.

Dalam pada itu, dia juga menegaskan perlu beradaptasi dengan corak permainan yang lebih berbeza berbanding musim lalu dengan pihak lawan sudah mula membaca pergerakkannya.

"Pada separuh kedua musim lalu, saya sudah merasa kesukaran untuk mencari ruang dan mempunyai kebebasan bergerak. Mungkin pihak lawan sudah mula mengawal saya dan ia berlaku dalam beberapa perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila seseorang pemain menimbulkan ancaman, jadi lawan akan cuba menghentikannya. Lawan akan mengkaji corak permainan dan mengawal pemain itu lebih ketat dalam setiap perlawanan.

"Saya hanya dapat mencuba dan terus melakukannya musim depan. Tetapi, saya harus menyesuaikan diri dan mengubah cara kerana semua orang bertambah baik. Anda tidak boleh tetap sama dan perlu terus meningkat.

"Bagi saya secara peribadi dan untuk pasukan, kami harus menyesuaikan diri dengan situasi baru dengan cepat," katanya.