Perlu ada koordinasi, elak pertindihan kuasa tangani isu air

Kesemua panel yang hadir ke Wacana Sinar ke-192 bertajuk Masalah Air, Sampai Bila?yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini semalam. Foto: MOHD IZARI ROSLI
Kesemua panel yang hadir ke Wacana Sinar ke-192 bertajuk Masalah Air, Sampai Bila?yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini semalam. Foto: MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Pertindihan kuasa antara agensi atau pengendali yang menguruskan air dilihat turut menjadi punca permasalahan air yang tidak berkesudahan di negeri Selangor khususnya.

Presiden Persatuan Air Malaysia, Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din berkata, sebelum ini air dikaitkan sebagai urusan kerajaan negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun setelah penstrukturan air negara dilakukan, salah satu perkara yang diambil kira ialah pembahagian kuasa.

Menurutnya, semua bekalan air minum atau air terawat di bawah penguasaan kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak sebagai pengawal selia, sementara air mentah pula berada di bawah kawalan kerajaan negeri.

"Apabila timbul masalah pencemaran seperti yang berlaku baru-baru ini, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan kerajaan negeri sahaja sebaliknya perlu muhasabah diri kerana dalam isu air ini ia ibarat bermain bola.

"Dalam satu pasukan ramai pemain utama seperti SPAN, LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), DOE (Jabatan Alam Sekitar) dan semua ada kuasa berkaitan sungai.

"Disebabkan itu berlaku pertindihan kuasa termasuk dari segi akta, malah pasukan itu juga tiada kapten menyebabkan semua pemain utama dilihat seolah-olah mahu menjadi kapten," katanya pada Wacana Sinar ke-192 bertajuk Masalah Air, Sampai Bila?yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

ABDUL KADIR. Foto: MOHD IZARI ROSLI
ABDUL KADIR. Foto: MOHD IZARI ROSLI

Turut menjadi panelis pada program tersebut adalah Exco Selangor, Hee Loy Sian, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr Marimuthu Nadason dan Pakar Governans Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abd Rahman serta Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku moderator.

Abdul Kadir berkata, justeru beliau melihat cadangan untuk mewujudkan satu badan bagi mengkoordinasikan peranan agensi tersebut tidak kira LUAS, SPAN, JPS atau DOE adalah amat wajar.

"Melalui badan ini, ia boleh jadi kapten yang menentukan dan menyatukan semua suara dan peranan agensi berkaitan air tersebut.

"Jadi tidak akan timbul lagi isu LUAS kata begini, JPS kata begitu dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Kadir berkata, lembangan sungai sebagai rizab air perlu mempunyai satu sistem pengurusan aset bagi memantau keadaan sungai pada setiap bulan atau setengah tahun umpamanya bagi melihat perubahan sungai, hakisan, pencerobohan dan sebagainya.

"Lembangan sungai kita dia tak duduk setempat sebab ia hidup dan akan berubah mungkin disebabkan faktor hujan dan sebagainya.

"Apabila lembangan sungai berubah, rizab air juga akan berubah kerana sungai kita ada banyak reka bentuk. Jadi perubahan ini perlu dipantau agensi yang jaga aset itu dan ia perlu ditukar dalam peta/carta setiap kali berlaku perubahan," katanya.