MAFI bantu petani atasi lambakan buah

Che Abdullah (tengah) melihat produk pertanian pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Buah-Buahan dan Kembara Agropreneur Muda di FAMA Sabah dekat Kota Kinabalu semalam.
Che Abdullah (tengah) melihat produk pertanian pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Buah-Buahan dan Kembara Agropreneur Muda di FAMA Sabah dekat Kota Kinabalu semalam.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membangunkan pusat pemprosesan buah-buahan bagi membantu petani mengatasi lambakan buah-buahan di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek itu juga bagi mendokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan eskport negara, sekali gus menyumbang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu, kita juga dapat memanfaatkan pusat ini untuk memasarkan buah-buahan ikonik seperti buah tarap, pomelo dan pisang Sabah kepada rakyat di Semenanjung serta eksport ke luar negara.

“Ia sekali gus memberi keyakinan kepada petani untuk memperluaskan tanaman dan meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

“Pada masa yang sama, pusat ini dapat menggalakkan penglibatan belia untuk terlibat dalam industri pemprosesan buah-buahan,” katanya pada perasmian Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Buah-Buahan dan Kembara Agropreneur Muda di FAMA Sabah dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Sementara itu, Ronald berkata, MAFI turut merancang beberapa projek bernilai RM5 juta di bawah bajet Pelan Rangsangan Ekonomi (Prihatin) di Sabah melalui FAMA, antaranya menaik taraf pusat operasi FAMA Kota Kinabalu, Pasar Tamu Tomborungus di Kudat dan pasar tamu di Kunak, selain pembangunan pusat pemprosesan buah-buahan.

Menurutnya, FAMA juga akan membekalkan buah tarap ke Semenanjung melalui udara dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad.

Artikel Berkaitan:

“FAMA telah memperkenalkan buah tarap kepada masyarakat di Semenanjung dengan penganjuran program My Best Buy. Saya percaya buah tarap akan turut mendapat permintaan yang baik di Semenanjung.

“Kita juga mengeksport pisang Sabah sebanyak 20,000 tan metrik pada tahun lalu dengan nilai eksport sebanyak RM115 juta,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ronald berkata, kementerian menyalurkan geran sebanyak RM7.79 juta bagi membantu seramai 534 peserta agropreneur muda di Sabah bagi menggalakkan mereka menceburi sektor pertanian.