WINS kongsi ilmu jadi usahawanita berjaya

Abdul Latiff (kiri) melihat produk-produk usahawanita yang dipamerkan sempena WINS selepas merasmikan program itu di Kota Kinabalu, Sabah semalam. - Foto UKK KPLB
Abdul Latiff (kiri) melihat produk-produk usahawanita yang dipamerkan sempena WINS selepas merasmikan program itu di Kota Kinabalu, Sabah semalam. - Foto UKK KPLB
A
A
A

KOTA KINABALU - Wacana Ilmu, Wanita Inspirasiku (WINS) bertemakan Wanita Desa Ke Global 2020 dianjurkan bagi memberi peluang kepada kumpulan sasar terutama wanita untuk bersama-sama usahawanita yang berjaya di setiap negeri berkongsi pandangan dan pengalaman.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam satu kenyataan semalam berkata, program bual bicara bersama tokoh wanita berjaya dan pakar dalam bidang keusahawanan itu merangkumi tiga komponen Teras Dasar Pembangunan Luar Bandar bagi melahirkan wanita luar bandar yang progresif dan modal insan berkualiti.

“Program ini dianjurkan bagi mewujudkan profil peserta Quick Win bagi tujuan membantu mempromosi produk yang dihasilkan atau diperniagakan serta memberi maklumat usaha atau program yang diberikan kerajaan berkaitan peningkatan pendapatan usahawan rintis kecil sederhana.

“Ia juga untuk mewujudkan rangkaian usahawan Quick Win luar bandar hasil bimbingan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melalui potensi perniagaan atas talian,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kementerian itu lagi, program berkenaan menyasarkan seramai 3,500 peserta yang melibatkan kos sebanyak RM560,000.

“Wacana ini menyasarkan usahawan yang terdiri daripada program rintis bimbingan Program Quick Win Kemas, peserta Kursus Kemahiran Jangka Pendek Kemas dan Bantuan Ekonomi Kampung (BEK), usahawan bimbingan Kemas di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta usahawan bimbingan peserta kelas kemahiran Kemas.

“Wacana ini akan memberi impak kepada peserta untuk terus berdaya saing bagi meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar dan mengambil peluang melalui bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.

WINS dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Artikel Berkaitan: