Amalan kenegaraan pengundi muda

Dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi perdebatan. - Gambar hiasan
Dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi perdebatan. - Gambar hiasan
A
A
A

CADANGAN penetapan kerajaan menurunkan minimum tahap usia pengundi dari 21 kepada 18 tahun di negara ini boleh disifatkan sebagai suatu tindakan bijak, berani dan mencabar. Ini menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh menguji golongan belia untuk mencabar diri menjadi warganegara yang bersedia menunaikan peranan mereka memilih pemerintah dengan berbekalkan rasa tanggungjawab dan bijak menafsir peradaban budaya politik di negara ini.

Dalam erti kata lain, remaja kita akan mengalami cabaran menilai kematangan diri apabila mereka terlibat secara langsung dalam arena politik dengan lebih terbuka.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara lain seperti di Eropah, Amerika Latin dan Timur Tengah, tahap usia minimum remaja mengundi adalah dari 16 tahun. Malah beberapa negara seperti di Argentina, Austria, Brazil, Cuba, Ecuador, Nicaragua sudah pun mengamalkan tahap usia minimum pengundi ke paras 16 tahun.

Walau bagaimanapun, dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi polemik dan bahan perdebatan dalam dasar pemerintahan sesebuah negara.

Di Malaysia, jumlah penduduk berusia bawah 18 tahun pada 2017 adalah seramai 9.4 juta atau 29.4 peratus dan lebih kurang 20 peratus jumlah pengundi dikuasai oleh remaja seusia 18 tahun. Sudah pasti cadangan pengurangan ketetapan usia mengundi ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.

Beberapa aspek perlu diperhatikan oleh kerajaan sebelum melaksanakan dasar penetapan umur mengundi tersebut, termasuklah:

1. Tahap kematangan remaja kita boleh dipersoalkan. Ini kerana mereka terbatas kepada kandungan media sosial dan sangat bergantung kepada kuasa media tersebut untuk menyebar dan mempengaruhi pemikiran menerusi lambakan maklumat yang boleh mengancam peradaban budaya mereka.

Banyak kajian membuktikan bahawa kebergantungan kepada media sosial boleh memberi implikasi negatif kerana mereka seakan tidak berpijak di dunia realti dan hanya menerima apa saja kandungan, terutama berkaitan hal ehwal politik negara yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mempropagandakan isu.

Artikel Berkaitan:

2. Kematangan remaja dalam hal ini juga agak subjektif kerana usia sedemikian, remaja masih mencari identiti mereka dan lebih terdorong kepada emosi yang membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan. Dikhuatiri sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah isu yang dihadapkan kepada mereka, maka mereka boleh terkeliru dengan keputusan yang bakal mereka ambil.

3. Pada peringkat usia sebegini juga, remaja harus terdedah dengan ilmu keorganisasian,berpersatuan, mengenali sifat parti-parti politik sebagai satu kaedah mematangkan fikiran mereka sebelum membuat keputusan mengundi atau memilih kerajaan memerintah.

4. Reformasi pendidikan harus dilaksanakan sejak peringkat bangku sekolah lagi. Subjek kenegaraan, Sejarah Malaysia dan perihal dasar-dasar negara perlu dijadikan subjek teras dalam kurikulum pendidikan negara. Pelajar harus dibimbing supaya mereka mempunyai cukup ilmu pengetahuan dan kefahaman menyeluruh berkaitan dengan hal-hal dan isu kenegaraan.

5. Langkah kerajaan mencadangkan penubuhan "Sekolah Pemimpin Masa Depan" (Malaysia Future Leaders School) menggantikan program PLKN baru-baru ini merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda ini memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotisme dalam kalangan mereka, terutama berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa.

6. Disyorkan organisasi-organisasi belia seperti Majlis Belia dan persatuan-persatuan belia dapat mengembangkan usaha untuk mendidik dan memimpin golongan remaja dalam hal-hal kenegaraan dengan lebih menyeluruh seperti mengadakan kempen-kempen pendidikan kenegaraan terancang dan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat patriotisme.

7. Mengembang dan memperkasa peranan remaja dalam soal-soal kemasyarakatan dan kesukarelawanan komuniti sejak di bangku sekolah supaya mereka dapat memahami keperluan masyarakat setempat dan kepentingan perjuangan politik negara.

Sampai masanya nanti remaja kita bersedia untuk menggalas peranan dan amanah menjadi pengundi yang jujur dan memahami serta menyakini pilihan yang bakal mereka terjemahkan di peti-peti undi di kemudian hari.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia