Derma darah bantu selamatkan nyawa

Derma darah boleh menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan seperti mangsa kemalangan, pesakit leukemia dan barah serta penyakit serius lain.
Derma darah boleh menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan seperti mangsa kemalangan, pesakit leukemia dan barah serta penyakit serius lain.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Hospital sentiasa kekurangan stok bekalan darah dan orang ramai yang layak disarankan supaya menderma darah setiap tiga bulan bagi memastikan bekalan darah berterusan dan mencukupi.

Pegawai Perubatan Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr Ahmad Wildan Azhar berkata, derma darah merupakan satu amalan mulia kerana boleh menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan seperti mangsa kemalangan, pesakit leukemia dan barah serta penyakit serius lain.

Menurutnya, amalan menderma darah juga menjaga kesihatan penderma kerana mereka kehilangan sejumlah kecil darah dari badan dan sel darah merah akan digantikan semula dalam tempoh 24 jam.

“Kehilangan darah jika mengikut nasihat pakar untuk wanita jumlah yang dibenarkan adalah 350 mililiter (ml) manakala lelaki, 450 ml sel darah merah.

“Ketika badan dalam proses menggantikan cecair yang hilang, pada masa sama badan kita akan mengimbangi dengan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk meningkatkan pengeluaran sel stem yang akhirnya akan menjadi sel darah merah.

“Proses ini memerlukan masa yang agak lama sehingga berminggu-minggu, sebab itu penderma perlu menjarakkan tempoh menderma,” katanya ketika ditemui di Hospital Pantai Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, tiada bukti konkrit berhubung menderma darah secara berkala dengan risiko penyakit jantung yang lebih rendah bagaimanapun terdapat beberapa cadangan bahawa menderma darah mampu membantu kitaran tahap zat besi di dalam badan selain melancarkan alirannya yang akan membantu mengurangkan kerosakan pada saluran darah.

“Bagi menjadi penderma darah, seseorang itu perlu sihat dan cergas jadi secara tidak langsung sudah tentu penderma itu akan mengamalkan kehidupan yang sihat untuk membolehkan mereka terus menderma secara berkala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesan sampingan yang akan dialami penderma darah ialah kehilangan sebahagian kecil daripada jumlah darah.

“Biasanya badan anda akan mengimbangi dengan menstabilkan tekanan darah dan degupan jantung, tetapi kadang-kadang anda mungkin berasa sedikit pening pada permulaannya. Itulah sebabnya kami akan selalu mengesyorkan penderma yang berpotensi untuk berada dalam keadaan terhidrasi sebelum menderma darah.

“Makanan yang disarankan adalah yang kaya zat besi seperti daging merah, makanan laut, kacang dan sayur-sayuran berdaun hijau gelap contohnya bayam. Untuk mengekal hidrasi, penderma perlu minum banyak air mineral,” katanya.

Ahmad Wildan
Ahmad Wildan

Dalam pada itu, katanya, individu yang merokok disarankan untuk tidak merokok sekurang-kurangnya 24 jam sebelum menderma darah.

“Merokok sebelum menderma darah akan meningkatkan tekanan darah dan tekanan darah tinggi adalah kontraindikasi terhadap pendermaan darah,” katanya.

Menyentuh mengenai kekerapan menderma darah, Ahmad Wildan menyarankan supaya aktiviti itu dilakukan setiap tiga bulan sekali namun jika terdapat kekurangan bekalan darah yang kritikal, penderma boleh menderma dalam tempoh dua bulan selepas tarikh pendermaan yang lepas.

Ahmad Wildan berkata, mereka yang menghidap penyakit kronik dan berjangkit seperti positif HIV, sifilis dan penyakit seumpamanya tidak dibenarkan menderma darah.

“Mereka yang mengamalkan kehidupan tinggi risiko seperti homoseksual, penagih dadah atau pekerja seks juga tidak boleh menderma darah selain mereka yang baru iaitu kurang daripada enam bulan bertindik atau mencacah tatu.

“Mereka yang kurang sihat seperti demam, selesema atau sebagainya ketika ingin menderma juga tidak digalakkan untuk meneruskan niat mereka itu. Sebab itu, sebelum menderma, kami akan memeriksa kesihatan penderma terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, golongan lain yang tidak digalakkan untuk menderma darah ialah penghidap penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan anemia atau polycythaemia.

Jelasnya, penderma perlu memastikan dirinya terhidrasi selain perlu mengamalkan pemakanan yang betul.

“Elakkan melakukan kerja berat sekurang-kurangnya lima jam pertama selepas menderma. Sekiranya mengalami pening yang teruk secara berterusan, berdebar-debar, sukar bernafas atau kelesuan yang teruk, penderma perlu ke klinik atau hospital dengan segera.

“Selain itu, jika penderma mendapati terdapat lebam, sakit atau bengkak yang teruk di bahagian darah diambil, mereka juga perlu segera mendapat rawatan,” katanya.

Ahmad Wildan berkata, menderma darah adalah prosedur untuk menyelamatkan nyawa yang mana ia akan membantu orang lain yang memerlukan darah seperti kehilangan darah akut dalam kes trauma, kehilangan darah kronik pada pesakit barah dan mereka yang memerlukannya sebelum prosedur pembedahan.

“Pusat menderma darah bukan tempat untuk pemeriksaan ‘biohazard’. Oleh itu, jika anda mempunyai kecurigaan tinggi untuk dijangkiti penyakit seperti HIV atau Hepatitis, anda disarankan untuk membuat pemeriksaan di pusat kesihatan terdekat sebelum menderma darah.

“Kami berterima kasih kepada penderma kerana meluangkan masa untuk menderma darah,” katanya.

Anda layak menderma darah sekiranya:

1. Sihat tubuh badan

2. i) Berumur di antara 18 - 65 tahun untuk yang pernah menderma

ii) Berumur di antara 18 - 60 tahun untuk pertama kali menderma

iii) 17 tahun (perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa/penjaga)

3. Berat badan 45kg ke atas

4. Tidur minimum 5 jam

5. Tiada masalah kesihatan

6. Telah mengambil makanan sebelum menderma darah

7. Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti berikut:

a. Hubungan jenis sesama jantina (homoseksual)

b. Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (biseksual)

c. Hubungan jenis dengan pekerja seks komersial

d. Bertukar-tukar pasangan seks

e. Mengambil dadah secara suntikan

f. Menjadi pasangan hubungan jenis kepada golongan di atas

8. Pendermaan terakhir 3 bulan lepas

9. Bagi penderma wanita; tidak mengandung, tidak datang haid, tidak menyusukan anak

Jangan menderma jika anda:

1. Pernah tinggal di United Kindom (England, Northern, Ireland, Scotlaand, Wales, Isle of Man atau Channel Island) atau Republik Ireland dari tahun 1980 hingga 1996 untuk tempoh 6 bulan (terkumpul) atau lebih

2. Pernah tinggal di Europe dari tahun 1980 hingga sekarang untuk tempoh 5 tahun (terkumpul) atau lebih

Sumber: https://www.pdn.gov.my/