Penerima bantuan zakat MAIWP cemerlang dalam pelajaran

Syed Hussien (berdiri, empat dari kiri) dan Mohd Nizam (berdiri, empat dari kanan) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Syed Hussien (berdiri, empat dari kiri) dan Mohd Nizam (berdiri, empat dari kanan) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi tumpuan dalam aspek pemerkasaan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga asnaf dan B40.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabsee berkata, perkara itu dibuktikan apabila sebanyak 11 daripada 30 skim bantuan zakat yang ditawarkan adalah untuk kategori pendidikan peringkat persekolahan sehingga pengajian tinggi.

Menurutnya, amanah yang diberi oleh pemberi zakat digunakan sebaiknya bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf dan B40 melalui pendidikan sehingga mereka berjaya.

“MAIWP telah menyalurkan bantuan am persekolahan kepada seramai 21,641 orang pelajar dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM12 juta pada tahun ini.

“Bagi bantuan keseluruhan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), sebanyak RM21 juta diperuntukkan termasuk RM5.9 juta digunakan bagi bantuan am kepada pelajar yang terlibat,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP di Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Seramai 269 pelajar menerima anugerah kecemerlangan akademik bagi tujuh kategori daripada peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Ijazah Sarjana Muda.

Pada majlis yang sama, PTPTN turut menyumbangkan zakat wakalah sebanyak RM75, 000 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada seramai 750 anak asnaf di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu (diploma) dan UiTM Puncak Alam (ijazah), Fatin Nadhirah Mohammad Fadzli, 24, dinobat Ikon Pe-lajar Baitulmal.

Kongsi Fatin Nadhirah, dia terkesan dengan masalah kewangan setelah bapanya tidak mampu bekerja selepas menghidap penyakit kronik ketika dia mengikuti pengajian diploma di UiTM Lendu, Melaka.

“Ketika itu, dua orang abang saya juga masih belajar, jadi melalui bantuan yang diberi MAIWP sangat membantu saya menyambung pengajian daripada peringkat diploma sehingga ijazah dengan tidak terlalu bergantung kewangan daripada ibu bapa.

“Pesan saya kepada adik-adik, jangan jadikan masalah kewangan sebagai satu sekatan untuk terus belajar kerana bagi saya tiada apa yang ibu bapa kita tinggalkan (jika bukan daripada keluarga senang) melainkan pendidikan,” kata Fatin Nadhirah.