Enam lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh

Sebuah pagar automatik di pos keselamatan dan kereta Mercedez-Benz dirosakkan dalam satu pergaduhan melibatkan 12 lelaki di sebuah kawasan kediaman di Tampoi, Johor Bahru, Selasa lalu.
Sebuah pagar automatik di pos keselamatan dan kereta Mercedez-Benz dirosakkan dalam satu pergaduhan melibatkan 12 lelaki di sebuah kawasan kediaman di Tampoi, Johor Bahru, Selasa lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di hadapan sebuah kediaman di Tampoi di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 36 tahun itu ditahan pada jam 9 malam kelmarin.

"Mereka ditahan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima maklumat satu kejadian pergaduhan pada jam 10 malam, Selasa lalu melibatkan 12 lelaki menggunakan senjata parang, rotan dan kerusi plastik.

"Dalam kejadian itu seorang suspek berusia 33 tahun patah tangan, sebuah kenderaan Mercedez-Benz dirosakkan dan pagar automatik di pos keselamatan turut dirosakkan.

"Bagaimanapun hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pihak polis masih mengesan enam lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, punca pergaduhan adalah disebabkan masalah dua rakan perkongsian perniagaan yang berselisih faham.

Artikel Berkaitan: