Kenaikan gaji penjawat awam ada mekanisme lebih sesuai

Gambar dari atas: Ahmed Razman Abdul Latiff, Shazali Abu Mansor
Gambar dari atas: Ahmed Razman Abdul Latiff, Shazali Abu Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan bagi pelaksanaan segera kenaikan gaji penjawat awam disifatkan sebagai satu keperluan, namun tindakan itu tidak sesuai dilakukan sekarang.

Penganalisis ekonomi yang juga Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, tidak dinafikan kenaikan gaji ketika ini adalah satu keperluan namun dalam keadaan dunia masih berdepan pandemik Covid-19, hal itu wajar diketepikan sementara waktu.

Menurutnya, ketika ini tumpuan kerajaan tidak hanya membantu kelangsungan ekonomi penjawat awam sebaliknya seluruh rakyat Malaysia perlu diberi perhatian.

“Kita tidak mahu sampai terjadi keadaan gaji sedia ada pun tidak mampu dibayar kerajaan seperti yang terjadi di Kuwait, negara Teluk yang kaya dengan hasil minyak itu dilaporkan mungkin menghadapi kesukaran membayar gaji penjawat awam selepas November ini.

“Kita tahu ada penjawat awam yang berdepan kesukaran hidup, jadi dalam hal ini Cuepacs mungkin boleh mencari mekanisme lain untuk membantu golongan penjawat awam terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuntutan kenaikan gaji oleh Cuepacs sebagai salah satu daripada lima tuntutan yang dibuat kepada kerajaan.

Lima tuntutan itu termasuk kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan tempoh kenaikan pangkat kali kedua dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018, selain pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas permohonan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibuat sejak Mac lalu berhubung tuntutan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan sepatutnya bersedia duduk semeja berbincang bersama Cuepacs.

Katanya, dengan keperitan hidup disebabkan wabak Covid-19, mungkin ada antara lima tuntutan itu yang boleh dipenuhi kerajaan.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu kakitangan kerajaan mendapat kenaikan gaji atau pangkat tanpa berdasarkan prestasi.

"Pada zaman IR 4.0 ini, apabila banyak urusan kerajaan dapat dilaksanakan secara digital, kakitangan kerajaan harus mampu menaik taraf kemahiran.

“Jika mereka mampu berbuat demikian, wajarlah mereka menerima kenaikan gaji dan pangkat,” katanya.