Laut China Selatan dipenuhi aset tempur

Jet tempur AS dilaporkan sedang bergerak aktif di Laut China Selatan di sebelah barat Filipina hingga ke selatan Pulau Hainan, China. - Foto 123RF
Jet tempur AS dilaporkan sedang bergerak aktif di Laut China Selatan di sebelah barat Filipina hingga ke selatan Pulau Hainan, China. - Foto 123RF
A
A
A

JET tempur Amerika Syarikat (AS) daripada kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan dilaporkan sedang bergerak aktif di Laut China Selatan di sebelah barat Filipina hingga ke selatan Pulau Hainan, China sekarang.

Berdasarkan laporan media tempatan China dan status Twitter daripada Tentera Laut AS, ketumbukan utama armada laut negara Uncle Sam itu sekarang berada di sekitar Filipina dan bersedia pada bila-bila masa untuk ‘mempertahankan kepentingan AS dan rakan sekutu’ di rantau itu daripada sebarang ancaman.

Tindakan AS itu tidak dipandang sepi oleh China. Pada 26 Ogos lalu, China melancarkan dua misil balistik ke sasaran berdekatan dengan Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

Misil balistik itu, DF-26B, dilancarkan dari barat laut wilayah Qinghai dan satu lagi misil bernama DF-21D dilancarkan dari wilayah Zhejiang di timur China.

Misil balistik itu boleh mencapai sasaran 4,000 kilometer dan boleh membawa peledak nuklear.

Isyarat yang cuba disampaikan oleh China kepada AS dan sekutu mereka di rantau itu amat jelas dan terang.

Mereka menunjukkan kemampuan teknologi ketenteraan setanding dengan AS, malah misil balistik itu dikatakan mampu untuk memusnahkan kapal pengangkut pesawat AS.

Kali terakhir kapal pengangkut pesawat AS musnah dalam pertempuran adalah pada Perang Dunia Kedua ketika berdepan dengan tentera empayar Jepun.

Artikel Berkaitan:

Mengetahui keangkuhan kedua-dua negara itu, isu pertindihan wilayah di Laut China Selatan, perang perdagangan dan penyebaran pengaruh China di seluruh dunia akan menjadi isu yang akan membelenggu hubungan kedua-dua negara untuk satu tempoh yang lama.

Persoalan utama sekarang adalah ke manakah hala tuju dan sokongan negara-negara serantau sekiranya AS dan China memilih untuk menyelesaikan perselisihan mereka di medan tempur?

Jika tersilap percaturan, bencana besar boleh menimpa rantau Asia Timur terutamanya negara-negara Asean. Oleh itu, Malaysia perlu mencari jalan terbaik bagi mengekalkan keamanan sejagat.

Semakin lama keadaan di Laut China Selatan semakin panas. Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan aman. Kita tidak mahu gaduh-gaduh.