RM50,000 suntik semangat baharu PKBM

Abu Samah (kanan) menerima replika cek daripada Alvin sambil disaksikan Sulaiman di Melaka hari ini.
Abu Samah (kanan) menerima replika cek daripada Alvin sambil disaksikan Sulaiman di Melaka hari ini.
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mampu menarik nafas lega selepas menerima sumbangan penajaan berjumlah RM50,000 bagi menganjurkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 pada 18 himgga 20 September depan.

Paling menarik, kerajaan negeri Melaka turut berjanji akan membantu menyalur bantuan kewangan bagi memastikan kejohanan itu yang diserahkan hak penganjurannya kepada Melaka pada saat-saat terakhir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berjanji akan memperuntukkan bantuan kewangan sekalipun kerajaan negeri berdepan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19.

“Saya akan pastikan ada bantuan diberikan bagi kejohanan ini. Bagaimanapun, saya mahu semua SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi kerana pandemik Covid-19 masih berleluasa. Kita belum juga temui vaksinnya lagi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab pula nyata gembira kerana masih ada pihak swasta tampil memberi penajaan dan menyifatkannya umpama penyambungan 'talian hayat' baharu buat persatuan.

“Kami rasa seolah-olah kembali bernafas. Sepanjang Covid-19 kami tidak dapat anjurkan sebarang kejohanan. Tiada kejohanan, bermakna kami tidak dapat punca pendapatan.

“Apabila bersetuju untuk anjurkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020, barulah kami sedar beban kewangan. Kita pilih Melaka kerana ia tawarkan laluan yang sesuai.

“Namun disebabkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 ialah sebuah kejohanan yang mesti diadakan pada setiap tahun mengikut arahan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kita kena teruskan penganjuran. PKBM mungkin didenda jika gagal (anjurkannya),” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Kesatuan Berbasikal Asia (ACC) turut meluahkan rasa bangga kerana PKBM mampu meneruskan tanggungjawab mengadakan kejohanan kebangsaan sesuai arahan UCI sekalipun tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

“Rasanya Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 ini ialah antara kejohanan sukan paling awal diadakan dalam era PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). Justeru saya minta sokongan semua pihak bagi memastikan ia berjalan lancar," ujarnya.

Terdahulu, Abu Samah menerima replika cek tajaan berjumlah RM50,000 daripada Harp Tech solution (M) Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Alvin Lim.

Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 18 September melibatkan acara lebuh raya, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.