MCA bertanding di empat kerusi

Lu Yen Tung
Lu Yen Tung
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA akan bertanding di empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusinya, Lu Yen Tung berkata, MCA Sabah sekali lagi diberikan kepercayaan oleh kepimpinan BN untuk bertanding bagi mengangkat suara komuniti Cina khususnya di negeri ini.

“BN telah memberi kepercayaan kepada MCA untuk bertanding di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di kerusi tradisi N.25 Kapayan serta tiga lagi kerusi baharu iaitu di N.55 Elopura, N.54 Karamunting dan N.19 Likas.

“MCA juga mempunyai keazaman yang cukup kuat untuk membantu masyarakat di DUN yang ditandingi ini andai kata diberikan mandat oleh rakyat pada PRN akan datang. Sudah tentu kita mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam usaha mereka untuk memperjuangkan nasib komuniti Cina di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yen Tung berkata, MCA akan bertanding menggunakan logo BN berikutan rekod terbaik BN yang cemerlang dalam membantu rakyat selain mampu menarik semula sokongan masyarakat kepada parti berkenaan.

“Apa yang penting bagi MCA ialah rakyat Sabah perlu diberikan pembelaan semula selepas hampir 26 bulan berada di bawah pemerintahan kerajaan Warisan yang hanya indah khabar daripada rupa.

“Ketidak adilan Kerajaan Warisan terhadap rakyat adalah motivasi utama MCA Sabah untuk terus bertanding kali ini,” katanya.

Sementara itu, Yen Tung berkata, jentera MCA juga telah bersedia untuk bergandingan dengan jentera rakan-rakan dalam BN serta rakan-rakan strategik yang baharu khususnya Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Parti Warisan Sabah dan sekutunya.

Artikel Berkaitan:

“MCA Sabah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang memberikan kepercayaan serta peluang untuk kami berjuang pada PRN kali ini,” katanya