Kontinjen Perak bersemangat hadapi Sukma 2020

Khairul Shahril
Khairul Shahril
A
A
A

PERAK melahirkan keyakinan dapat memperbaiki kedudukan pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dijangka berlangsung pada 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, setiap atlet begitu bersemangat menjalani latihan fizikal dan mental di bawah kelolaan jurulatih masing-masing sebelum menyertai temasya dwitahunan itu.

“Dalam tinjauan persiapan atlet kita baru-baru ini, atlet kita cukup bersemangat dalam persiapan Sukma kali ini dan kelebihan yang kita ada adalah daripada segi fasiliti kerana fasiliti sukan di Perak adalah antara yang terbaik.

“Selain itu, kita berkeyakinan ada beberapa atlet kita yang mampu memecah rekod kebangsaan termasuk dalam kategori senior dalam Sukma itu nanti," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tangan Prototaip Elektronik Cetakan 3D di Hub Inovasi dan Multimedia di Ipoh hari ini.

Menurutnya, acara menembak, angkat berat dan sepak takraw antara sukan yang dijangka mampu menjadi penyumbang pingat emas buat kontinjen Perak nanti.

Bagaimanapun, Khairul Shahril berkata, pihaknya masih belum menetapkan sasaran pingat emas bagi edisi kali ini selepas mengutip 37 emas, 50 perak dan 55 gangsa untuk menduduki tangga kelima keseluruhan pada Sukma 2018.

"Selain menembak dan angkat berat, kita melihat sepak takraw yang muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL-Road to Sukma 2020 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Itu satu petanda yang cukup baik.

“Atlet kita akan memasuki kem pusat selama tiga hari bermula 11 September ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bagi mempersiapkan diri sebelum menyertai kejohanan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: