Lencun lapan jam sembunyi dalam bilik

Anuar Othman
Anuar Othman
A
A
A

IPOH - Tidak tahan dengan panas, tindakan 17 individu termasuk seorang wanita bersembunyi dalam bilik bagi mengelak ditahan polis gagal apabila bekalan elektrik di sebuah premis hiburan dipotong.

Mereka dipercayai pelanggan pusat hiburan di Taman Canning di sini hari ini dan keluar dalam keadaan lencun selepas lapan jam terperap dalam bilik itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu berjaya menahan keseluruhan 22 individu termasuk seorang lelaki warga China kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Dalam serbuan pada jam 12.30 tengah malam itu, anggota polis menahan dua lelaki termasuk warga China itu di dua bilik berasingan dan tiga lelaki yang bertindak sebagai 'transporter' dan penjaga air di premis itu.

"Pemeriksaan mendapati tiga bilik ditinggalkan dalam keadaan bersepah. Pencarian turut dilakukan dengan bantuan unit anjing pengesan (K9)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Anuar berkata, pemantauan diteruskan sehingga 17 individu tersebut keluar dari bilik persembunyian pada jam 8.30 pagi.

"Kesemua tangkapan disyaki pelanggan premis berusia antara 19 hingga 55 tahun dibawa ke IPD Ipoh untuk ujian saringan awal urin.

"Kesalahan direkodkan di bawah Peraturan 3 Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatkan jangkitan) 2020 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: