Saran gazet tanah ceroboh di Raub sebagai tanah rizab Melayu

Hamidah (tujuh dari kanan) bersama ahli Putra menghantar dua memorandum kepada pihak istana dan pejabat Menteri Besar di lokasi berasingan di Pekan dan Kuantan hari ini.
Hamidah (tujuh dari kanan) bersama ahli Putra menghantar dua memorandum kepada pihak istana dan pejabat Menteri Besar di lokasi berasingan di Pekan dan Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang disaran agar menggazetkan kira-kira 4,400 hektar tanah yang diceroboh untuk tanaman durian musang king di Raub sebagai tanah rizab Melayu.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, cadangan itu disuarakan pihaknya sebagai satu tindakan positif bagi menggantikan tanah Rizab Melayu yang kini semakin berkurangan.

"Tanah Rizab Melayu kini semakin merosot. Kalau ikutkan wasiat daripada raja-raja Melayu, sepatutnya 50 peratus tetapi saya difahamkan di Pahang hanya ada 12 peratus sahaja.

"Sebab itu, kita mahu usaha gigih daripada Kerajaan Pahang untuk menukarkan taraf tanah yang diceroboh bagi tanaman durian musang king Raub sebagai tanah rizab melayu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Hamidah bersama 15 ahli Putra hadir menyerahkan memorandum berkaitan isu tanah yang diteroka secara haram kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Pekan di sini.

Memorandum turut diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Seri Pahang di sini.

Hamidah turut menyuarakan kebimbangan Melayu akan dipinggirkan sekiranya tanah berkenaan tidak digazetkan sebagai rizab Melayu.

"Saya khuatir Melayu akan terus tersisih dan merempat di bumi sendiri. Jadi, kita harap Kerajaan Pahang ambil tindakan sebaik-baiknya," katanya.

Artikel Berkaitan: