Suspek kes bunuh ditahan bersama tukul besi

Anggota MPV berkas suspek kes bunuh di sebuah pusat jagaan orang tua di Petaling Jaya hari ini.
Anggota MPV berkas suspek kes bunuh di sebuah pusat jagaan orang tua di Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan pantas sepasukan anggota kereta peronda polis (MPV) berjaya memberkas suspek kes bunuh seorang lelaki di sebuah pusat jagaan orang tua di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 30 tahun itu berjaya ditahan setelah anggota MPV menerima maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 3.05 pagi.

"Lelaki warga asing itu sedang memegang tukul besi ketika ditahan di premis berkenaan.

"Senjata itu dipercayai digunakan suspek ketika bergaduh dengan mangsa berusia 29 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang juga warga asing ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

"Punca kejadian pergaduhan itu masih dalam siasatan," katanya.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal dan bekerja di pusat jagaan itu.

"Suspek pula baru sahaja sebulan tinggal di pusat jagaan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.