Peka alu-alukan pindaan Akta Perhutanan Negara

Hutan simpan kekal (Shariffa Sabrina Syed Akil)
Hutan simpan kekal (Shariffa Sabrina Syed Akil)
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan menerusi Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-77 untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sebelum ini pihaknya bersama sembilan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan Persekutuan untuk meminda Akta 313 melalui memorandum bertarikh 18 Julai 2019.

Menurutnya, berikutan itu kerajaan Persekutuan menukar pendirian daripada cadangan menguruskan hutan dengan memperkukuhkan kepada membuat pindaan kepada Akta 313 tersebut.

"Memandangkan MTN terdiri daripada wakil dari setiap negeri, keputusan yang dicapai menandakan penerimaan pihak kerajaan negeri kepada pindaan Akta 313.

"Ia juga tanda sokongan kepada komitmen antarabangsa kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan 50 peratus liputan hutan semasa walaupun Peka mempersoalkan ketepatan data tentang liputan hutan sebenar yang dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam MTN dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan pindaan Akta 313 itu yang antara lain bertujuan memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpan Kekal (HSK).

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam satu kenyataan berkata, ia juga untuk memantapkan penguatkuasaan hutan dan meningkatkan kadar denda serta hukuman berkaitan kesalahan merosakkan hutan dan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, Peka turut mengalu-alukan keputusan MTN untuk memantapkan penguatkuasaan hutan, pengawalan pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan yang selaras dengan apa yang disyorkan di dalam memorandum kepada kerajaan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Peka juga mengalu-alukan keputusan MTN untuk melaksanakan Proses Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

"Bagaimanapun, Peka mempersoalkan penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi Semenanjung Malaysia khususnya secara keseluruhan dan bukannya bagi setiap negeri di Semenanjung yang masing-masing mempunyai kawasan liputan hutan yang berbeza," katanya.

Sembilan NGO lain yang membuat gesaan terhadap pindaan Akta 313 itu adalah Green Peace Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Kami, Otai Reformasi, Tambak Penang, Shah Alam Community Forest, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Masyarakat Orang Asli Gerik dan Masyarakat Orang Asli Gua Musang.