PdP secara maya sepanjang PKP memuaskan: KPM

Muslimin Yahaya (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, Zainuren Mohd Nor (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutupan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Selangor di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands hari ini. - Foto Bernama
Muslimin Yahaya (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands, Zainuren Mohd Nor (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutupan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Selangor di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GENTING HIGHLANDS - Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya yang dijalankan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaja berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan KPM, hanya 36 peratus pelajar tidak mempunyai peranti serta akses Internet.

“KPM sedia maklum mengenai permasalahan tersebut, untuk mengatasinya KPM mahu menyemarakkan TV Pendidikan agar tahap pendidikan di negara ini mencapai tahap yang terbaik.

“Pelajar dan guru disarankan untuk meneruskan pembelajaran secara maya selain bersemuka, kita gabungkan kedua-duanya sekali. Pembelajaran cara maya ini bukan sahaja membantu melahirkan lebih ramai guru yang kreatif, malah melahirkan pelajar yang mampu berfikiran kritis, sekali gus memberikan impak yang besar serta memberikan keupayaan kepada anak-anak menguasai dunia pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis perasmian penutupan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Majlis Guru Besar Selangor di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands di sini hari ini.

Kolokium yang bertemakan ‘Mendepani Pendidikan Dalam Era Normal Baharu’ yang berlangsung selama tiga hari sejak Selasa itu menyentuh tentang peranan guru dalam memperkasakan keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu yang dapat dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: