65 kes malaria monyet direkod di Kelantan

Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies Anopheles (tiruk) dan penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi. Foto: 123RF
Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies Anopheles (tiruk) dan penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi. Foto: 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 446 kes malaria monyet direkod di Kelantan bagi tempoh 2016 hingga kini dengan 65 kes dicatat di negeri ini setakat Januari hingga Ogos lepas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Vektor, Cawangan Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Ahmad Syaarani Yasin berkata, bagaimanapun tiada kes kematian berkaitan penyakit berkenaan dilapor sepanjang tempoh lima tahun lepas.

"Kalau lihat kepada 65 kes tahun ini, secara puratanya terdapat lapan kes untuk sebulan, maksudnya sentiasa ada rakyat Kelantan yang dijangkiti," katanya semasa menjadi tetamu dalam program Slot Kesihatan terbitan radio KELANTANfm hari ini.

Memperincikan 65 kes yang dilaporkan itu, Dr Ahmad Syaarani berkata, ia merangkumi empat daerah di Kelantan iaitu Gua Musang yang merekodkan sebanyak 38 kes, diikuti Kuala Krai dengan 15 kes, Jeli (10 kes) dan Tanah Merah (dua kes).

Mengulas lanjut, beliau berkata, individu paling berisiko dijangkiti penyakit itu adalah mereka yang melakukan aktiviti riadah di kawasan atau pinggir hutan terutamanya di empat daerah berkenaan.

"Sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam panas, muntah dan sebagainya selepas melawat kawasan hutan terutamanya di empat daerah ini, maka segera dapatkan rawatan serta ujian di klinik kesihatan terdekat," katanya yang turut meluahkan kebimbangan tentang kurangnya kesedaran orang ramai mengenai penyakit itu.

Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi adalah melalui gigitan nyamuk spesies Anopheles (tiruk) dan penyakit itu juga dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi sehingga boleh mengakibatkan kegagalan organ seperti buah pinggang, malah membawa kepada kematian.

Di samping itu, ditanya mengenai kaedah untuk mencegah penyakit tersebut, Dr Ahmad Syarani menasihati orang ramai supaya memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk ketika berada di kawasan hutan.

Artikel Berkaitan:

"Pakai baju lengan panjang dan seluar panjang serta sapu ubat penghalau serangga dan seeloknya elakkan berada di luar rumah pada waktu malam... sekiranya terpaksa bermalam di hutan atas faktor tertentu, sediakan khemah serta kelambu berubat," katanya. - Bernama