United tak cukup bajet beli bintang

Ole Gunnar Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer
A
A
A

BEKAS kapten Manchester United, Gary Neville menggesa pihak pengurusan The Red Devils memberikan sokongan berupa dana kepada pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dalam usahanya membentuk barisan terbaik bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Neville memberitahu, Solskjaer memerlukan bajet besar jika United yang menamatkan saingan di belakang penyandang juara EPL, Liverpool dengan perbezaan 33 mata mahu terus memperbaiki mutu permainan.

"Trofi kejuaraan dan berada di kelompok dua terbaik adalah sasaran seterusnya. Ia perlu dicapai tetapi Solskjaer bakal menghadapi kesukaran. Dia memerlukan sokongan daripada pihak kelab.

"Dalam keadaan sekarang, bukan sekadar untuk bersaing dalam kelompok atasan akan mendatangkan masalah. Malah, untuk bersaing dengan Chelsea juga sukar selepas mereka telah memperkuatkan pasukan.

"Jadi apa yang telah ditunjukkan oleh Ole musim lalu harus dipandang tinggi. Dia berhak untuk diberikan sokongan beberapa pengurus sebelumnya gagal memberikan impak yang diharapkan," katanya.

Terdahulu, Solskjaer mengakui United tidak memiliki 'wang tambahan berjuta-juta' dalam usaha The Red Devils membawa masuk penyerang muda Borussia Dortmund, Jadon Sancho ke Old Trafford.

Biarpun Sancho telah bersetuju dengan pembayaran gajinya, United dilapor masih belum mencapai kata sepakat dengan Dortmund mengenai yuran perpindahan selepas tawaran asal 70 juta pound (RM378 juta) yang dinaikkan kepada 110 juta pound (RM594 juta) termasuk bonus telah ditolak.

"Kami sentiasa cuba berusaha untuk memperbaiki pasukan dan membawa masuk pemain (baharu) supaya kami ada tahap kualiti dan personaliti dan kriteria yang betul," ujar Solskjaer.

Artikel Berkaitan: