X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Kedah titah agar rakyat tenang, tidak panik

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah - Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar rakyat bersikap tenang serta tidak panik dengan gelombang kedua wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negeri ini.

Baginda bertitah rakyat perlu berhati-hati dan patuh kepada arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan sentiasa berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang tujuan.

“Rakyat tidak boleh ambil mudah terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bertujuan memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjamin.

“Jangan pandang remeh SOP yang ditetapkan kerana keingkaran kita untuk mematuhi SOP tersebut akan mendedahkan diri kepada bahaya dan risiko dijangkiti wabak Covid-19,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Pentadbiran dikuat kuasa di daerah Kota Setar mulai esok

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah merancang dan mengambil tindakan yang berterusan sebagai persediaan menghadapi wabak itu.

Tuanku bertitah, baginda dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh kerabat Diraja negeri sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat agar kembali bebas daripada pandemik itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!