Tindakan henti tugas jika anggota terlibat kematian Prebet Abdul Aziz

 Ikmal Hisham Abdul Aziz
Ikmal Hisham Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya sekiranya terbukti terlibat dalam kes kematian Prebet Abdul Aziz Aznam yang dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan pada 29 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sekiranya terdapat pertuduhan atas kesalahan penderaan, pihak ATM tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan anggota yang terlibat daripada perkhidmatan tanpa menjejaskan tindakan perundangan ke atas anggota tersebut.

"Pihak ATM berasa amat sedih atas kejadian yang berlaku dan turut bersimpati kepada keluarga Allahyarham dan akan meneruskan siasatan sehingga keadilan terhadap Allahyarham ditegakkan.

"Suka saya tegaskan bahawa pihak ATM tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sebarang kecuaian dan pelanggaran undang-undang oleh anggotanya dan akan mengenakan tindakan yang tegas kepada pelaku-pelaku kesalahan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kematian prebet Aziz: Beberapa anggota tentera dirakam percakapan

Beliau berkat, hasil bedah siasat yang dijalankan doktor pakar dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor pada 7 September lepas mendapati tiada kecederaan fizikal lain dalam badan jenazah yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan.

Katanya, pakar forensik jenayah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah melawat lokasi kejadian pada 7 September bagi menjalankan siasatan terperinci.

"Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan masih belum dimuktamadkan. Pihak ATM akan terus memberikan kerjasama serta bantuan kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan," katanya.

Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat, Johor.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 petang, 6 September lepas. - Bernama