Dua perompak dipenjara 12 tahun

Fook Jing (dua dari kanan) dan Alen (kiri) dihadapkan Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini.
Fook Jing (dua dari kanan) dan Alen (kiri) dihadapkan Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Dua sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dan dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merompak dan mencederakan seorang remaja lelaki dalam kejadian bulan lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Alen Low Chou Jin, 38, dan Chai Fook Jing, 30, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama melakukan rompakan ke atas harta kepunyaan seorang remaja berusia 17 tahun iaitu tiga buah telefon bimbit sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh kira-kira jam 1.40 petang di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang bersenjatakan parang telah menceroboh masuk rumah mangsa yang ketika kejadian mangsa tinggal berseorangan sebelum salah seorang daripada mereka menyelongkar barang berharga di tingkat atas.

Ketika mahu melarikan diri, ibu bapa mangsa kebetulan pulang ke rumah dan remaja berkenaan cuba menghalang kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka telah bertindak menetak dan melibaskan parang kepadanya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan lengan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira mangsa merupakan seorang remaja dan mengalami kecederaan parah di kepala selain berdepan trauma yang panjang selepas kejadian itu.

Alen yang bekerja sebagai pemandu lori, manakala Fook Jing bekerja sebagai penarik kereta merayu hukuman dapat diringankan dengan alasan mereka mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tersebut.