'Jangan persoal calon PRN yang dipilih' - Bung Moktar

Bung Moktar (depan, dua kiri) bersama kepimpinan Barisan Nasional dan Bersatu pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-Pemimpin BN dan Bersatu Sabah di sini hari ini.
Bung Moktar (depan, dua kiri) bersama kepimpinan Barisan Nasional dan Bersatu pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-Pemimpin BN dan Bersatu Sabah di sini hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemimpin dan ahli UMNO diminta tidak mempertikaikan senarai calon yang dipilih pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijadualkan 26 September ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, semua pihak perlu menyokong calon-calon UMNO untuk memenangi PRN Sabah kali ini.

Beliau berkata, tanggungjawab berkenaan pengagihan kerusi PRN Sabah kali ini dianggap sebagai suatu yang paling sukar dalam hidupnya.

“Saya minta jangan persoal pucuk pimpinan mengenai calon. Kita perlu terus menyokong calon untuk menang pada PRN kali ini.

“Saya juga tiada pengalaman dalam pengagihan kerusi calon, namun semua berjalan lancar dengan bantuan rakan-rakan yang berpengalaman dan ini adalah satu yang paling sukar dalam hidup saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin-Pemimpin BN dan Bersatu Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilihan calon yang bertanding pada PRN Sabah kali ini berdasarkan latar belakang, pergaulan bersama masyarakat dan komited bekerja untuk rakyat.

Ketika ditanya pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan mengenai bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak disenaraikan sebagai calon, Bung Moktar berkata, pihaknya tidak pernah menawarkan kepada beliau dipilih sebagai calon.

“Tan Sri Musa Aman tidak pernah memohon untuk menjadi calon dan kita juga tidak membuat tawaran kepada beliau untuk dicalonkan bertanding pada PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Sudah pasti kita hormat beliau,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman tidak tersenarai dalam calon BN

Terdahulu Bung Moktar mengumumkan UMNO Sabah mempertaruhkan calonnya di 31 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN kali ini.