Pakar tulang tradisional kesal disaman hanya kerana katil lipat

Marvin (kanan) menunjukkan saman yang diterima akibat membawa katil lipat di bahagian but kereta.
Marvin (kanan) menunjukkan saman yang diterima akibat membawa katil lipat di bahagian but kereta.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pakar tulang rawatan tradisional kesal dengan tindakan saman yang dikenakan terhadapnya berikutan membawa katil lipat yang disimpan dalam bahagian but keretanya.

Marvin Yip Keng Yeong, 40, berkata, pada Isnin lalu, dia yang dalam perjalanan pulang dari Melaka Ke Kuala Lumpur telah ditahan oleh kereta peronda polis di Kilometer 283 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, setelah memberhentikan kenderaan, dia diminta untuk turun dan membuka bahagian but kereta untuk diperiksa.

"Saya telah memberi kerjasama dengan baik, dan menjelaskan bahawa katil lipat serta beberapa jenis ubat tradisional yang dibawa adalah satu keperluan untuk kerja memandangkan saya merupakan seorang juru pakar tulang rawatan tradisional.

"Saya mempunyai dua klinik rawatan di Seremban dan katil lipat itu merupakan salah satu kelengkapan yang perlu ada untuk saya menjalankan rawatan, bukan untuk tujuan lain.

"Saya hanya mahu persoalkan, adakah itu satu kesalahan kerana saya meletakkan barang keperluan kerja dalam kereta saya sendiri, hanya katil lipat bukan barang terlarang, tetapi saya tetap disaman dengan alasan menggunakan lesen kenderaan bermotor (LKM) atas tujuan lain," katanya.

Marvin menunjukkan katil lipat dan ubat bagi rawatan yang dibawanya untuk keperluan kerja sambil disaksikan oleh Gunasekaran dan Kee Chin.
Marvin menunjukkan katil lipat dan ubat bagi rawatan yang dibawanya untuk keperluan kerja sambil disaksikan oleh Gunasekaran dan Kee Chin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari ini di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran untuk mendapatkan bantuan serta khidmat guaman.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Sementara itu, Gunasekaran berkata, beliau akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta supaya membatalkan saman yang dikeluarkan terhadap pakar tulang tradisonal tersebut.

Katanya, tindakan saman itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan dia hanya membawa katil lipat dan beberapa ubat tradisional dan ia bukanlah barang terlarang.

"Saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah atas kesalahan menggunakan LKM bagi tujuan lain, adakah dia perlu menyewa lori atau kenderaan lain hanya mahu membawa katil lipat dan ubat rawatannya?

"Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, jika benar dia ada buat salah kita terima, tetapi ini bukan satu kesalahan tetapi lebih kepada penganiayaan sahaja," katanya.