Lebih 45,000 pekerja dijangka diberhentikan kerja di Singapura

Hasni menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto ihsan Unit Media Dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor
Hasni menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto ihsan Unit Media Dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ahli-ahli ekonomi Singapura meramalkan seramai 45,000 sehingga 200,000 pekerja di Singapura akan diberhentikan kerja sekiranya ekonomi republik itu semakin menguncup.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sekiranya perniagaan di Singapura mengecilkan operasi mereka, ribuan rakyat Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura berkemungkinan besar akan diberhentikan dahulu.

Beliau berkata, bagaimanapun ekonomi Malaysia dan Johor mula menunjukkan pemulihan sejak Jun lalu berikutan pembukaan perniagaan secara beransur-ansur selepas ditutup sementara operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

"Sektor pelancongan mula menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur dipacu oleh pelancong domestik.

"Tourism Johor merekodkan seramai 84,588 pelancong telah menginap di Johor pada Jun lalu berbanding hanya 585 pelancong bermalam pada Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang) berkenaan rancangan kerajaan negeri dalam membantu memulihkan perdagangan dan ekonomi Johor akibat koronavirus (Covid-19) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM17.34 juta bagi membantu sektor pelancongan negeri selain pelbagai promosi dijalankan sejak sektor perhotelan dibuka semula.

"Bantuan 'one off' kepada 935 pemandu pelancong, insentif galakan pelancongan kepada syarikat agensi pelancongan, pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemilik syarikat pelancongan dan pengecualian duti hiburan diberikan bagi merancakkan sektor ekonomi pelancongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ekonomi Johor akan kekal berdaya tahan terutama sebagai sebuah negeri paling maju di Malaysia.

"Ekonomi Johor didukung dengan kepelbagaian sub sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian serta pengurusan fiskal yang kuat dan hutang rendah.

"Johor merekodkan nisbah hutang kasar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang paling rendah di belakang Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Katanya, secara keseluruhan, Johor kemungkinan besar akan mengalami pemulihan berbentuk V pasca pandemik Covid-19 memandangkan mempunyai asas-asas kuat berkenaan yang dapat mengatasi sebarang cabaran ekonomi.