Hampir 170,000 saman Awas dikeluarkan sejak September 2018

Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) - Foto sumber internet
Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 169,315 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) sejak kerajaan mengambil alih pengoperasiannya daripada pihak swasta.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, sepanjang tempoh 1 September 2018 sehingga Disember tahun lepas, sejumlah RM6.9 juta kompaun juga berjaya dikutip.

"Awas atau dahulunya dipanggil Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sememangnya memberi kesan sebab itu ia diteruskan apabila kerajaan terdahulu mengambil alih.

"Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati Awas atau AES dapat mengurangkan 95 peratus jumlah risiko kemalangan di persimpangan lalu lintas dan jalan raya yang dipasang kamera," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang ingin tahu jumlah saman dan kompaun yang dikutip sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Kesavadas A Achayuthan Nair mengenai langkah strategik bagi mengurangkan kadar kematian penunggang motosikal akibat kemalangan jalan raya memandangkan mereka lebih berisiko tinggi, Hasbi berkata, statistik kemalangan jalan raya bagi tahun lepas mencatatkan 6,167 kematian dengan 64 peratus daripada jumlah itu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata, kementerian memandang serius mengenai perkara-perkara yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya justeru kementerian melalui agensi di bawahnya telah menjalankan pelbagai bentuk kempen dan advokasi yang berterusan seperti Program Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA) di seluruh negara.

Selain itu katanya, program kesedaran menerusi sesi ceramah dan kempen keselamatan jalan raya di organisasi kerajaan, swasta, komuniti setempat, di sekolah dan institusi pengajian tinggi turut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Mesej-mesej peringatan juga dikeluarkan di stesen televisyen menerusi slot wawancara, iklan dan 'crawler', hebahan di radio-radio dan juga media sosial yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi mengubah sikap dan mendidik pengguna jalan raya.

"Selain itu, kementerian melalui MIROS juga telah banyak melakukan usaha promosi, kursus dan latihan berkaitan keselamatan jalan raya terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti penunggang motosikal termasuklah program Sokongan Keselamatan Perjalanan yang masih berjalan," katanya. - Bernama