PRN Sabah: DAP guna logo Warisan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak akan menggunakan logo parti mereka sendiri sebaliknya akan bertanding di bawah bendera Parti Warisan Sabah (Warisan).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ia merupakan keputusan sukar Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, namun sebagai memenuhi permintaan Jawatankuasa DAP Sabah untuk bertanding dengan logo bersama.

“Menghormati kehendak Jawatankuasa DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan bahawa semua calon DAP Sabah akan bertanding dalam PRN akan datang di bawah panji Parti Warisan Sabah (Warisan), ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, PRN kali ini adalah satu penanda aras penting untuk menentukan masa depan Sabah sama ada akan ditadbir kerajaan dipilih rakyat atau golongan oportunis politik yang dipengaruhi politik wang.

"Implikasi pilihan raya ini sangat besar kepada Malaysia. Kemenangan (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal) akan menjadi penolakan kepada politik pengkhianatan, di mana mandat pengundi pada Pilihanraya 2018 dikhianati, dibeli dan ditidakkan dengan sewenangnya.

"Politik pengkhianatan telah membawa kepada pembentukan kerajaan Persekutuan yang tidak dipilih yang tanpa malu-malu membenarkan polisi pelampau kaum dan agama," katanya.

Guan Eng berkata, kemenangan Warisan di Sabah akan membawa harapan kepada seluruh Malaysia bahawa kerajaan yang terpilih akan 'dapat menjadi pelindung rakyat, pembela demokrasi dan keadilan, mengawal rasuah dan penjaga masa depan anak-anak kita'.

"Kami yakin semangat dan nilai DAP akan terus menjadi prinsip panduan semua calon ketika kami berganding bahu dengan sekutu kami dalam Warisan Plus untuk memenangi pilihan raya ini bersama-sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain DAP, Amanah juga akan bertanding di bawah tiket Warisan dalam PRN Sabah. Namun, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan logonya sendiri walaupun bersekutu dengan Warisan.

Selain tiga parti Pakatan Harapan, parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga bersekutu dengan Warisan.