Covid-19: 24,958 individu dikuarantin di Johor sejak Mac lalu

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini diberitahu, seramai 24,958 individu sudah menjalani proses kuarantin di Johor menerusi dua fasa dari 1 Mac hingga 6 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, 20,536 individu iaitu 20,321 warganegara dan 215 bukan warganegara menjalani kuarantin bagi fasa pertama dari 18 Mac hingga 10 Jun lalu.

"Seramai 4,442 individu iaitu 3,753 warganegara dan 669 bukan warganegara pula menjalani kuarantin bagi fasa kedua dari 24 Julai hingga 6 September," katanya pada sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

R Vidyananthan menjawab soalan lisan Chen Kah Eng (PH-Stulang) berkenaan jumlah pusat kuarantin dan mereka yang dikuarantin di negeri ini terutama selepas pulang dari Singapura.

Beliau berkata, sejak 10 Jun hingga 23 Julai lalu, seramai 7,970 individu dikuarantin di rumah namun arahan tersebut tidak dipatuhi segelintir daripada mereka.

Jelasnya, ini mengakibatkan penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan ahli keluarga termasuk berlaku beberapa kejadian kluster baharu yang melibatkan komuniti.

Berikutan itu katanya, pelaksanaan semula arahan kuarantin di pusat kuarantin dikeluarkan semula pada 24 Julai lalu di negeri ini dengan mewajibkan semua yang tiba di pintu masuk antarabangsa menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan pihak kerajaan.

"Setakat ini memandangkan situasi Covid-19 di dunia masih pada tahap membimbangkan dan risiko penularan daripada kemasukan baharu masih tinggi, tiada cadangan untuk melonggarkan arahan kuarantin di pusat kuarantin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, segala keputusan dasar berkaitan kuarantin 14 hari di rumah adalah mengikut ketetapan kerajaan Persekutuan selepas mendapat nasihat serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 57 stesen kuarantin yang terdiri daripada 43 hotel dan 14 institusi latihan awam (ILA) telah diaktifkan.