Jururawat tamatkan mogok di Zimbabwe

Seorang jururawat memakai pakaian perlindungan diri semasa bertugas di sebuah hospital di Harare pada 11 Mac lalu. - Foto AFP
Seorang jururawat memakai pakaian perlindungan diri semasa bertugas di sebuah hospital di Harare pada 11 Mac lalu. - Foto AFP
A
A
A

HARARE - Ribuan jururawat di Zimbabwe menamatkan mogok mereka berhubung gaji dan pakaian perlindungan diri (PPE) tiga bulan selepas tidak bekerja di wad-wad hospital, kata pemimpin mereka.

Presiden Persatuan Jururawat, Enock Dongo berkata, mogok itu tidak akan diteruskan kerana pihaknya memberi peluang kepada Menteri Kesihatan yang baharu untuk meneliti aduan mereka.

Naib Presiden negara itu, Jeneral bersara Constantino Chiwenga dilantik menjadi Menteri Kesihatan pada bulan lalu.

Beliau menggantikan Obadiah Moyo yang dipecat selepas didakwa atas dakwaan rasuah berhubung kontrak bernilai AS$20 juta (RM83.31 juta) untuk kit ujian koronavirus dan PPE.

"Kami menggalakkan anggota kami kembali semula bekerja dan memberikan peluang kepada Menteri baharu," kata Dongo kepada AFP.

Jururawat itu melancarkan mogok pada Jun lalu berikutan bayaran gaji yang rendah ketika kenaikan inflasi yang kini mencecah sehingga lebih 800 peratus.

Ia juga menjejaskan gaji ketika ekonomi di negara selatan Afrika itu tidak stabil.

Mereka juga mengadu tentang kekurangan peralatan perlindungan dan dipaksa menggunakan pelitup muka pembedahan yang sudah dipakai.

Artikel Berkaitan:

Tindakan mogok jururawat itu kemudian diikuti oleh doktor kanan dan muda yang masih tidak kembali bekerja menyebabkan hanya sebilangan kecil kakitangan mengendalikan hospital di tengah pandemik koronavirus. - AFP