Bekas Setiausaha MDS didakwa rasuah

Mohd Shah Nizam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan rasuah apabila melantik syarikat milik adik iparnya.
Mohd Shah Nizam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan rasuah apabila melantik syarikat milik adik iparnya.
A
A
A

IPOH - Bekas Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM1,560 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Nizam Abdul Aziz, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS) untuk mendapatkan suapan apabila melantik syarikat milik adik iparnya.

Pelantikan itu adalah untuk perbekalan sabun dan peluntur bagi Rumah Rehat MDS dengan harga RM1,030 melalui nombor baucar bayaran kerajaan.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat MDS pada 9 Jun 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa atas pertuduhan sama apabila melantik syarikat sama bagi tujuan sama dengan harga RM530 di lokasi sama pada 28 September 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bapa kepada tiga anak itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaludin, manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Oktober ini.