Alcantara mampu pacu kembali daya saing pemain Liverpool

Thiago Alcantara
Thiago Alcantara
A
A
A

PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool perlu menandatangani Thiago Alcantara sebagai suntikan daya saing dalam kalangan pemain The Reds bagi mengharungi musim baharu selepas gergasi EPL itu tidak begitu aktif dalam pasaran pembelian pemain kali ini.

Bekas tonggak pertahanan Manchester United, Gary Neville berkata, skuad kendalian Jurgen Klopp itu memerlukan elemen pembakar semangat baharu di bilik persalinan bagi memastikan prestasi cemerlang The Reds beberapa tahun kebelakangan ini kekal di tahap terbaik.

Justeru menurutnya, Alcantra dilihat sebagai pemain yang mampu membangkitkan dan menyemarakkan semula perasaan cabaran dalam kalangan pemain The Reds pada ketika ini.

"Sesungguhnya Liverpool memerlukan Alcantara yang memiliki kualiti diperlukan The Reds bagi penambahbaikan skuad yang serba sempurna sejak beberapa musim kebelakangan ini.

"Ini penting kerana Liverpool sudah pun memiliki pemain dan pengendali yang cukup berkualiti menyebabkan tiada keperluan bagi menambah pemain baharu lagi," katanya.

Untuk rekod, Liverpool sebelum ini mengambil langkah tidak melakukan pembelian baharu pemain bagi skuad utama sejak 12 bulan lalu selepas Klopp optimis pemain-pemainnya mampu mencipta impak positif.

Polisi itu ternyata berbaloi apabila kelab Inggeris yang sarat dengan pelbagai kejuaraan domestik berkenaan berjaya mengakhiri kemarau 30 tahun Anfield menjulang trofi liga utama England tersebut.

Bagaimanapun, kedatangan pemain Sepanyol berusia 29 tahun itu ke Anfield hangat diperkatakan setelah pemain yang mula berkhidmat di Allianz Arena sejak 2013 itu secara terbuka menyatakan keinginan mencari cabaran baharu setelah menamatkan saingan Bundesliga dengan kejuaraan treble - kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Neville berkata, skuad kendalian Jurgen Klopp itu jelas memerlukan kehadiran Alcantara bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan.

"Bahagian tengah yang dibarisi Alex Oxlade-Chamberlain, Jordan Henderson, Fabinho dan Naby Keita dilihat bagaimanapun masih belum mampu mencari pengganti persis Philippe Coutinho yang menjadi kunci meleraikan benteng pertahanan lawan.

"Namun harus diingat bahawa dalam kalangan pemain Liverpool tentunya memerlukan elemen baharu khasnya bahagian tengah yang dapat menyuntik kembali daya saing masing-masing dalam mengharungi saingan domestik dan Eropah," katanya.