Kes Macau Scam meningkat di Kelantan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sindiket penipuan Macau Scam di Kelantan semakin membimbangkan susulan terdapat peningkatan kes tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga awal Ogos lepas, polis mencatatkan kerugian lebih RM5 juta disebabkan sindiket itu di negeri ini.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap sindiket ini masih rendah... masyarakat mudah percaya dan terpedaya dengan panggilan dan ugutan daripada sindiket ini. Selain orang kampung, penjawat awam juga menjadi mangsa kerana mudah mendapat pinjaman dan bakal pesara turut menjadi sasaran sindiket kerana mereka akan menerima wang ganjaran.

“Masyarakat di negeri ini dinasihatkan supaya tidak perlu takut, cepat percaya dan mudah gelabah apabila menerima panggilan daripada orang tidak dikenali kononnya berkaitan jenayah, sebaliknya semak dahulu dengan pihak berkuasa atau berkaitan sebelum mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengenai perkembangan lain, Shafien berkata, polis masih mengesan suspek utama seorang lelaki berumur 30 tahun berhubung kes rampasan dadah bernilai RM42.2 juta di sebuah rumah di Tanjong Chat di sini pada 1 September lepas.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), IPK Kelantan merampas 1,293 kg ganja, 972.4 kg syabu dan 11,800 biji pil kuda di rumah berkenaan serta merampas wang tunai berjumlah RM204,558 daripada akaun bank dua daripada suspek serta menahan enam anggota sindiket berkenaan.

"Kami percaya suspek utama dalam kes ini masih berada di dalam negara dan kami nafikan kes seludup ini melibatkan bantuan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Shafien berkata, ketiga-tiga suspek kes buli pelajar di sebuah sekolah di Tanah Merah dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: