X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai runcit jual barang kawalan tanpa lesen diserbu

Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa kedai runcit yang menjual barang kawalan tanpa lesen sah.
A
A

KEMAMAN - Sebanyak 1,488 kilogram (kg) gula dan 1,608kg minyak masak yang dijual tanpa lesen dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Kijal semalam.

Ketua KPDNHEP Cawangan Kemaman, Hasim Mohamed berkata, dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, pihaknya turut merampas 292.8kg tepung gandum dan 29 tong gas petroleum cecair (LPG).

“Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan gagal mengemukakan sebarang lesen bagi menjual barangan kawalan berjadual ini

"Siasatan awal mendapati semua barang kawalan berjadual dianggarkan bernilai RM12,784 itu dijual kepada penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tong LPG turut dirampas penguat kuasa KPDNHEP cawangan Kemaman kerana dijual tanpa lesen.
Tong LPG turut dirampas penguat kuasa KPDNHEP cawangan Kemaman kerana dijual tanpa lesen.

Hasim berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-keduanya sekali.

Sementara itu beliau memaklumkan sebanyak 6,421 pemeriksaan telah dijalankan di sekitar daerah Kemaman sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu 96 kes dihasilkan melibatkan nilai rampasan RM55,797 serta kompaun RM45,000.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088 / 6245, aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!