Pahang peruntuk RM18 juta atasi air mentah keruh di Raub

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Tender terbuka bagi kerja-kerja mengatasi kekeruhan tinggi membabitkan tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Raub dijangka dipanggil pada akhir bulan ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dokumen tender bagi kerja-kerja mengatasi masalah itu sudah siap sepenuhnya dan tempoh penyiapan kerja-kerja berkenaan pula mengambil masa selama 15 bulan.

"Peruntukan yang disediakan sebanyak RM18 juta dan skop projek merangkumi pelantikan jurutera perunding, kerja ukur dan penyiasatan tanah.

"Skop utama projek ini ialah dengan membina tangki praenapan (Pre SedimentationTank) dan penggantian pam dan peralatan elektrik manakala rekabentuknya akan mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, taklimat sudah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri semalam.

Katanya, seperti sedia maklum masalah kekeruhan air mentah yang tinggi di LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau menyebabkan operasinya kerap ditutup hingga menyusahkan pengguna di daerah ini.

"Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan Pahang segera bertindak termasuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM18 juta yang mana RM7.57 juta digunakan untuk LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan (RM6.19 juta) dan LRA Sungai Klau (RM4.24 juta)," katanya.

Artikel Berkaitan: